Carian Terperinci
Pengunjung
10894
Tarikh Kemaskini 2013/02/16
Ringkasan pertanyaan
Bagaimanakah nasib seseorang yang selama hidupnya berada dalam kesesatan dan dosa, namun melalui perantaan ihsan dan doa orang lain, keadaannya di akhirat berubah meskipun beliau tidak memainkan peranan untuk mengubahnya?
soalan
Bagaimanakah nasib seseorang yang selama hidupnya berada dalam kesesatan dan dosa, namun melalui perantaan ihsan dan doa orang lain, keadaannya di akhirat berubah meskipun beliau tidak memainkan peranan untuk mengubahnya?
Jawaban Global
Permasalahan yang menjadi pertanyaan ini tidak dapat diterima seratus peratus dan tidak juga dapat ditolak seratus peratus, namun tergantung pada jenis dosa yang dilakukannya dan siapakah pelakunya.  Misalannya orang yang melakukan dosa syirik terhadap Allah (s.w.t) mereka ini tidak akan mendapatkan keampunan sedikitpun. Begitu juga dengan dosa yang berkaitan dengan "hak-hak manusia" (haqqun nās)  tidak akan mendapatkan keampunan Ilahi melalui perantara doa dan permohonan orang lain sebelum dosa tersebut ditebus dengan mengembalikan hak-hak orang lain dan meminta keredaan pemilik hak tersebut. Setelah melakukan dua hal tersebut, maka terbuka ruang baginya untuk mendapatkan keampunan dosa,
Kadang-kadang seseorang itu melakukan dosa secara tidak sengaja. Hal ini dapat diketahui ketika pelaku dosa tersebut menyedari kekeliruannya dan setelah itu menyatakan penyesalan dan bertaubat. Pendosa seperti ini memiliki  harapan  untuk mendapatkan keampunan. Atau kadang-kadang seseorang yang berbuat dosa itu sedar dan tahu bahawa hal tersebut dosa, namun kerana sikap keras kepalanya ia terjerumus ke dalam perbuatan dosa yang harus ditebusnya sendiri. Untuk menebus dosa dan pengaruh-pengaruhnya hal itu dapat dilakukan dengan perantara peribadi pendosa itu sendiri dan boleh juga melalui perantara orang lain.
Meskipun tidak menjadi penghalang, manusia tidak memiliki hak melebihi usahanya sendiri. Melalui jalan kemurahan dan keampunan Ilahi, anugerah Ilahi hanya akan diberikan kepada mereka yang layak mendapatkannya. Di sini, kelayakan adalah satu persoalan dan sikap kepemurahan adalah persoalan yang berbeza.
Selain hal tersebut, kebaikan, doa orang lain, syafaat dan sebagainya juga bukanlah tidak termasuk dalam perhitungan. Ini berada pada tingkat tertentu yang bergantung pada orang itu sendiri; misalnya syafaat memerlukan usaha serta jalinan hubungan maknawi dengan orang yang memberikan syafaat (shāfiʻ). Hakikatnya ia harus memiliki kelayakan dan kebolehan untuk mendapatkan apa yang diinginkannya. Sebagaimana tumbuhan, tanpa perantara bantuan air, tanah, cahaya dan sebagainya tidak dapat bertumbuh dan mencapai tingkat kesempurnaan. Tumbuhan pada asasnya harus memiliki kemampuan dan potensi untuk memajukan dirinya sendiri supaya bantuan air, tanah dan cahaya memberikan manfaat untuk dirinya sendiri.
 
Jawaban Detil
Untuk menjelaskan jawapan terhadap pertanyaan yang diajukan, beberapa perkara berikut perlu kami terangkan:
  1. Setiap perbuatan dosa memiliki dua sisi, di mana salah satu sisinya adalah maksiat, kedegilan dan pelanggaran terhadap perintah Tuhan (berlaku aniaya terhadap Allah s.w.t) dan sisi lainnya berkaitan dengan peribadi pendosa dan anggota masyarakat (berlaku aniaya terhadap manusia dan diri sendiri).[1]
  2. Setiap perbuatan dosa berbeza antara satu dengan yang lain, dengan memperhatikan perbezaan keadaan waktu dan tempat kejadian dosa, perbezaan dosa-dosa dan pelaku dosa itu sendiri, maka sebagai akibatnya hukuman yang diberikan kepadanya juga akan menjadi berbeza.
Misalnya berkenaan dengan para isteri Nabi (s.a.w), al-Qur'an menyatakan: "Hai isteri-isteri nabi, barangsiapa di antara kamu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan seksaan kepadanya dua kali ganda, dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Surah Al-Ahzab [33]:30) atau dalam sebuah riwayat yang dinukilkan daripada Imam Ridha (a.s) iaitu: "Seseorang yang terang-terangan melakukan dosa atau menyebarkannya adalah orang hina dan orang yang menutupi dosa-dosa yang ia lakukan dan menyembunyikannya maka ia akan mendapatkan keampunan."[2]
  1. Dalam sebuah klasifikasi, dosa-dosa terbahagi menjadi dua, iaitu dosa kepada Allah (haqqullah) dan dosa kepada manusia (haqqunnās). Tersebutlah di dalam riwayat: "Allah (s.w.t) sekali-kali tidak akan memaafkan dosa-dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia (haqqunnās) kecuali pemilik hak tersebut memberikan keredaan kepadanya."[3] Kerana itu, sebahagian dosa seperti ini tidak layak mendapatkan keampunan dengan perantara doa, istighfar pendosa atau doa serta istighfar orang lain samada ketika zaman ia masih hidupnya mahupun setelah kematiannya. Ia harus mendapatkan keredaan orang yang diambil haknya terlebih dahulu, atau yang berkaitan (pemilik hak) merelakan haknya diambil oleh orang itu; misalnya apabila seseorang mengambil harta orang lain atau merampasnya, selagi pemilik harta tersebut tidak memberikan keredaan maka Allah (s.w.t) sekali-kali tidak akan diberi keampunannya.
  2. Dosa-dosa terbahagi menjadi dosa kecil dan dosa besar. Dosa besar adalah dosa yang dalam pandangan Islam di samping dilarang dalam al-Qur'an, orang-orang yang melakukan dosa tersebut juga diancam dengan azab neraka; misalnya zina, membunuh manusia yang tidak berdosa, memakan hasil riba dan sebagainya, sebagaimana hal tersebut disentuh dalam riwayat.[4] Dosa kecil adalah dosa yang hanya dilarang pengerjaannya namun tidak diancam azab neraka. Al-Qur'an menjanjikan pengampunan bagi orang yang melakukan dosa kecil dan hal itu disebut dalam surah an-Nisā’ (4), ayat 31, "Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu) yang kecil dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)." Sesuai dengan ayat suci ini, dengan menghindarkan diri dari dosa-dosa besar maka dosa-dosa kecil secara automatik akan diberi keampunan. Namun harus diperhatikan bahawa kadang-kadang dalam suatu keadaan tertentu, dosa-dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar dan pelakunya tidak akan selamat atau aman dari ancaman Ilahi.[5] Ertinya kebanyakan dosa-dosa kecil berubah menjadi dosa besar di mana Allah (s.w.t) bukan sahaja tidak mengampuni pelakunya, bahkan menjanjikan mereka azab yang pedih.[6]
  3. Dalam sebuah klasifikasi, pendosa dapat dibahagi menjadi dua bahagian:
  1. Mereka yang melakukan dosa kerana kejahilan kemudian menyesali perbuatan tersebut. Lantas berusaha menebus kesalahannya dan berjanji untuk tidak mengulang lagi perbuatan tersebut (taubat). Allah (s.w.t) menjanjikan keampunan dan kemaafan bagi orang yang melakukan dosa seperti ini. [7]
  2. Mereka yang melakukan dosa-dosa padahal ia berilmu, di mana ia mengetahui bahawa apa yang ia lakukan itu adalah dosa namun tidak ada rasa penyesalan setelahnya. Bagi orang seperti ini sudah tentu tidak akan mendapatkan keampunan Ilahi.[8]
 
Dari apa yang telah dijelaskan di atas menjadi terang bahawa kata maaf dan keampunan Ilahi dan berubahnya kondisi pendosa hanya berlaku pada dosa-dosa yang Allah janjikan keampunan dan maaf baginya dimana hal ini dapat terwujud dengan mencari sebab-sebab pengampunan.
Adapun orang yang menghabiskan hidupnya dalam perbuatan dosa dan penyimpangan, bagaimana ia akan mendapatkan keampunan dan syafaat, atau nasibnya akan berubah di akhirat melalui perantaraan kebaikan dan doa orang lain? Ini disebabkan seluruh orang-orang yang tenggelam dalam perbuatan dosa dan penyimpangan tidaklah dikatakan demikian. Mustahil nasib mereka akan berubah dengan perantara perbuatan baik dan doa orang lain. Sementara yang berkaitan dengan para pendosa yang mana dosanya dijanjikan keampunan dan kemaafan oleh Allah (s.w.t) maka ia tetap memiliki harapan, bahkan dengan doa dan perbuatan baik orang lain ia akan mendapatkan keampunan; Ini disebabkan al-Qur'an menyatakan, "Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk." (Surah Al-Hud [11]:114)
Sebagaimana pendosa, apabila semasa hidupnya melakukan  kebaikan-kebaikan dan melalui perbuatan baiknya itu, Allah (s.w.t) akan menghapus dosa-dosa dan kesan-kesan dosanya. Apabila orang lain melakukan pelbagai kebaikan dan menghadiahkan pahalanya kepada orang yang berbuat dosa, kebaikan-kebaikan ini akan menjadi sebab terhapusnya dosa-dosa dan kesa-kesan yang ditimbulkan dari dosa yang ia lakukan.
Kita memiliki banyak riwayat yang menegaskan bahawa, "Tatkala seseorang meninggal dunia apabila orang lain (anak-anak atau orang lain) mengerjakan kebaikan seperti menunaikan solat, puasa, haji, bersedekah dan membebaskan hamba dan sebagainya, setelah itu menghadiahkan pahala dan ganjaran amal soleh yang telah mereka kerjakan ini (kepada orang itu) maka pahala dan ganjaran kebaikan tersebut akan sampai kepadanya.’[9]
Sudah tentu apabila ganjaran kebaikan-kebaikan yang dikerjakan orang lain tersebut diperuntukkan kepada seorang pendosa, maka itu akan sampai kepadanya selama ia ingin menebus kesan-kesan buruk dosa-dosa seorang pendosa, maka dosa-dosanya juga akan tertebus.
Pada hakikatnya, hal ini merupakan cermin keadilan Ilahi di mana dengan perbuatan-perbuatan baik orang lain dosa-dosa yang setimpal dengan perbuatan baik tersebut akan diampuni. Allah (s.w.t) membuka jalan ini melalui lisan Nabi-Nya.[10] Sebagaimana di dunia ini apabila seseorang mengerjakan sebuah kesalahan dan meninggalkan kerugian bagi orang lain, apabila orang ketiga menebus kesalahan ini untuknya maka sudah tentu orang yang menderita kerugian tersebut akan meredainya namun sekiranya tidak rela, maka ia akan mendapatkan cemuhan. Kerana itu, tidaklah menghairankan dan menjadi pertanyaan bagaimana dosa seorang pendosa yang telah meninggal dunia dapat ditebus dengan perbuatan-perbuatan baik orang lain.
Lain pula halnya dengan seseorang yang gemar berbuat maksiat dan dosa, meskipun semua orang-orang soleh menghadiahkan segala kebaikan mereka kepadanya itu tetap tidak mampu menebus dosa-dosa besar yang tak-terbilang yang ia lakukan. Dalam hal ini, ia tidak akan dimaafkan dengan perantara kebaikan-kebaikan orang lain, melainkan Allah (s.w.t) akan mengurangkan beban dosa-dosanya dan menurunkan berat azab untuknya.[11]
Perlulah disebutkan di sini bahawa  Allah (s.w.t)  Maha Adil Maha Bijaksana, dan sekali-kali tidak akan melakukan penganiayaan kepada para hamba-Nya.  Setiap perbuatan hamba tidak ada yang sia-sia, setiap amal kebaikan akan mendapat ganjaran. Boleh jadi menurut pandangan kita seseorang itu adalah pendosa dan layak mendapatkan azab kerana kita tidak mengetahui seluruh perbuatan dan amal-amal mereka. Namun Allah (s.w.t) Maha Mengetahui segala sesuatu, maka keampunan-Nya harus kita hitung sebagai ganjaran dari perbuatan-perbuatan baik yang ia lakukan di mana Allah (s.w.t) mengetahuinya dan kita tidak mengetahuinya.
Satu hal yang tidak boleh kita lalai iaitu doa dan keampunan yang dipohon oleh seseorang bagi orang lain lantaran perbuatan baik yang dilakukan semasa hidupnya. Namun apabila seseorang yang tidak pernah melakukan kebaikan dalam kehidupannya, malah seluruh hayatnya bergelumang dengan dosa, maka tidak ada seorang pun yang akan memohonkan keampunan baginya dengan tulus-ikhlas, begitu juga permohonan daripada anak-anak dan kerabatnya.
Mengenai hubungan dengan kerabatnya, apabila kerabat ini bukan termasuk orang baik, sudah tentu do’anya tidak akan dimakbulkan. Namun sekiranya kaum kerabatnya itu termasuk orang baik dan soleh, pasti mereka tidak senang kepadanya kerana ia adalah pendosa, sehingga tidak merasa perlu untuk berdo’a baginya.
Dalam menjawab pertanyaan ini Tafsir Nemune menyatakan bahawa ayat-ayat tentang syafaat atau sepertinya dalam surah Thur, ayat 1 "Dan orang-orang yang beriman, beserta  anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga)" menegaskan bahawa anak-anak para penghuni syurga juga akan digabungkan dengan mereka padahal sedikit pun tidak ada usaha dari mereka. Atau apa yang disebutkan dalam riwayat bahawa seseorang yang melakukan perbuatan baik maka hasilnya akan sampai pada anak-anaknya. Fakta ini selaras dengan ayat al-Qur’an mengenai mereka yang berusaha dan akan memperolehi ganjaran. Al-Qur'an menyatakan, "Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang telah dikerjakannya."  Namun hal ini tidak akan menjadi penghalang bagi Allah yang mana melalui kemurahan-Nya, berbagai nikmat diberikan kepadanya. Di sini kemurahan adalah sebuah persoalan dan kelayakan (istihqaq) adalah persoalan yang lain. Sebagaimana ḥasanah (berbagai kebaikan) akan diberi ganjaran sepuluh kali ganda, dan kadang-kadang sampai seratus atau seribu ganjaran.
Selain itu, syafaat adalah persoalan yang bukan tidak diperhitungkan. Ia memerlukan usaha serta jalinan hubungan maknawi dengan individu yang memberikan syafaat.[12] Demikian juga berkenaan dengan masalah pertemuan anak-anak penghuni syurga dengan mereka yang ada di syurga. Al-Qur'an menyebutkan pada ayat yang sama, "Dan anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan."  Maka hal ini hanya dapat terjadi ketika anak-anak mereka adalah orang-orang beriman yang mengikuti jejak langkah mereka.[13]
Allamah Thabathabai (r.a) dalam kitab al-Mizān berkenaan dengan pembahasan syafaat berkata, "Apabila seseorang ingin mendapatkan ganjaran yang ia tidak mempersiapkan sebab-sebab ganjaran, dan juga sebab-sebab penghindaran dari hukuman kerana tidak melakukan kewajiban-kewajibannya, maka ia akan mendapatkan ganjaran dengan perantara syafaat. Namun syafaat yang dimaksud di sini bukanlah dalam bentuk mutlak, sebab sebahagian manusia tidak memiliki kelayakan untuk sampai kepada kesempurnaan yang diidam-idamkan sedikitpun. Contohnya orang awam yang menjadi ulama dengan syafaat seseorang. Jika ia tidak memiliki ilmu dan tidak pula berupaya mengembangkan potensinya, serta tidak memiliki hubungan erat dengan seseorang yang dapat memberikannya syafaat, maka ia tidak akan mendapatkan apa-apa.  Ataupun seperti  hamba yang tidak memiliki ketaatan kepada tuannya sedikitpun. Pada saat ia membantah dan menentang tuannya, ia juga ingin memperolehi syafaat dari tuannya, sudah tentu ia tidak akan mendapatkan apa-apa dan syafaat tidak akan memberikan manfaat sedikitpun. Syafaat bukan sebab itu sendiri melainkan medium untuk melengkapkan dan menyempurnakan sebab Seperti mana dalam contoh pertama menyatakan dirinya sebagai ulama dan contoh kedua pada saat ia membantah ketika mendekatkan diri kepada tuannya sehingga tidak akan memberi hasil apa-apa.[14] []
 

[1]. Tafsir Nemune, jil. 6, hal. 415.
[2]. Al-Kāfī, jil. 2, hal. 428 dan Tafsir Nemune, jil. 14, hal. 406.
[3]. Al-Kāfī, jil. 2,hal. 433.
[4]. "Al-Kabāir allati awjabaLlāh Azza wa Jalla ʻalaihi al-Nār." Dosa-dosa besar yang diwajibkan Allah (s.w.t) baginya neraka jahanam." Al-Kāfi, jil. 2, hal. 276.
[5]. Beberapa keadaan yang menjadikan dosa-dosa kecil berubah menjadi dosa besar ialah:
  1. Apabila dosa kecil itu dilakukan berulang-ulang. Imam Shadiq (a.s) berkata, "Lā Shaghira maa' al-Ishrār." (Tiada dosa kecil yang dilakukan berulang-ulang [dan berubah menjadi dosa besar]). Al-Kāfi, jil. 2, hal. 88.
  2. Apabila orang yang melakukan dosa memandang dosa kecil itu sebagai hal yang remeh dan rendah dosa kecil yang ia lakukan. Dalam keadaan seperti ini dosa kecil itu akan berubah menjadi dosa besar. Imam Ali (a.s) berkata: "Ashaddu al-dhunūb mā isthana bih ṣāhibuh." (Seburuk-buruk dosa adalah apa yang dipandang rendah dan remeh oleh pelakunya). Wasāil al-shiʻah, jil. 15, hal. 312, bab 43.
  3. Apabila pendosa melakukan dosa dengan sikap angkuh dan melampaui batas. Al-Qur'an menyatakan, "Maka orang yang melampaui batas. dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya)." (Surah Al-Naziat [79]:37-39)
  4. Apabila dosa kecil dilakukan oleh orang-orang besar dan tokoh-tokoh sosial. Al-Qur'an menegaskan kepada para isteri nabi, "Hai isteri-isteri nabi, barangsiapa di antara kamu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan seksaan kepadanya dua kali ganda." (Surah Al-Ahzab [33]:30)
  5. Apabila pendosa melakukan dosa-dosa kecil itu dengan gembira. Nabi (s.a.w) bersabda: "Barangsiapa yang melakukan dosa dalam keadaan tertawa maka ia akan memasuki neraka dalam keadaan menangis." Wasāil al-shiʻah, jil, 15, hal. 305, bab 40.
  6. Apabila orang yang melakukan dosa menganggap tidak ada hukuman segera daripada Tuhan adalah dalil atas keredaan-Nya. "Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri, “Mengapa Allah tiada menyeksa kita (segera) lantaran apa yang kita katakan itu." (Surah Al-Mujadalah [58]:8) Tafsir Nemune, jil. 3, hal. 359 dan seterusnya.
[6]. Akan tetapi persoalan ini tidak bertentangan dengan penggolongan syafaat bagi orang yang melakukan dosa besar. Berkenaan dengan masalah bahawa siapa saja yang boleh mendapatkan syafaat, Allamah Thabathabai berkata, "Syafaat terbahagi menjadi dua bahagian. Pertama syafat takwini yang bermakna pengaruh setiap sebab-sebab takwini pada alam sebab-akibat, dan kedua syafat tasyri'i yang berkaitan dengan ganjaran dan hukuman. Ketika kita berkata bahawa bahagian kedua berpengaruh termasuk sebahagian dosa-dosa syirik hingga yang dosa peringkat yang lebih rendah. Misalnya syafaat, perantara taubat dan iman. Tetapi taubat dan iman yang dilakukan di dunia dan sebelum kiamat. Sebahagian yang lain memberi kesan pada azab terhadap dosa-dosa. Misalnya amal soleh yang menjadi perantara dalam penghapusan dosa-dosa. Akan tetapi syafaat yang menjadi hakikat perdebatan dan perbezaan adalah syafaat  para nabi dan selain para nabi pada hari Kiamat demi menghapuskan azab dari orang yang menurut perhitungan kiamat adalah orang yang layak mendapatkan azab dan pada waktu yang lalu (dalam perbahasan yang lalu bertajuk siapa yang layak mendapatkan syafaat, kami berkata bahawa syafaat ini berkaitan dengan orang-orang yang melakukan dosa-dosa besar, daripada orang-orang yang beragama pada agama yang benar, dan Allah (s.w.t) menerima agama mereka. Terjemahan Parsi al-Mīzān, jil. 1, hal. 264.
[7]. "Sesungguhnya (penerimaan) taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Nisa [4]:17)
[8]. Para penafsir yang merujuk pada ayat dan riwayat telah mengira sebab-sebab pengampunan dosa-dosa sebagai berikut:
  1. Taubat dan kembali kepada Tuhan yang sentiasa disertai dengan rasa kesal atas dosa-dosa lalu dan memutuskan untuk menjauhi dosa-dosa tersebut pada masa akan datang. Al-Qur'an dalam hal ini menegaskan, " (Surah Syura [42]:25)
  2. Mengerjakan amalan-amalan baik menjadi sebab pengampunan perbuatan-perbuatan buruk. ""Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk." "(Surah Al-Hud [11]:114)
  3. Syafaat: Hakikat syafaat adalah doa Nabi (s.a.w) atau salah seorang Imam Maksum (a.s) untuk pendosa supaya ia dimaafkan dan diampuni oleh Allah (s.w.t). Ja'far Subhani, Buhuts Qur'aniyah, hal. 117-118.  Meskipun syafaat merupakan salah satu kaedah yang diterima secara umum dalam Islam di mana hal ini disebut pada ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis iaitu syafaat menjadi penyebab keampunan bagi hamba-hamba yang berdosa, namun syafaat ini memiliki banyak syarat dan tidak bersifat umum sehingga siapa sahaja boleh memperolehi syafaat. Hal ini khusus bagi orang-orang yang menunaikan segala kewajipan yang diperintahkan dalam agama terutama sekali apabila ia tidak memandang remeh pada ibadah solat, maka Tuhan memberikan izin syafaat kepada orang tersebut. Demikian juga tidak termasuk seluruh dosa. (Syarat-syarat syafaat dan hal-hal yang berkenaan dengannya telah dibahas tersendiri pada tempatnya)
  4. Menghindari dari dosa-dosa besar menjadi penyebab keampunan dosa-dosa kecil. "Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang pengerjaannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu) yang kecil dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)." (Surah Al-Nisa [4]:31)
  5. Keampunan Ilahi yang dianugerahkan kepada orang-orang yang layak mendapatkannya.
Keampunan Ilahi bergantung kepada kehendak Ilahi dan memiliki sekumpulan syarat dan peraturannya tersendiri. Ianya dapat diperoleh oleh orang-orang yang membuktikan bahawa dirinya layak mendapatkan keampunan pada tahap perbuatan. Dari sini, jelaslah bahawa mengapa Allah (s.w.t) berfirman: "Perbuatan syirik sekali-kali tidak akan diampuni”, kerana musyrik telah memutuskan hubungannya dengan Tuhan secara keseluruhan dan terlekat pada sebuah perbuatan yang bertentangan dengan asas seluruh agama dan norma-norma penciptaan. Di antara sebab-sebab pengampunan yang telah kita jelaskan di atas boleh jadi sebab yang paling kuat adalah taubat yang banyak disebutkan pada ayat-ayat al-Qur'an. "Allah (s.w.t) mengajak kepada para hamba-Nya untuk melakukan taubat." (Surah Tahrim [66]:8); "Kerana itu mohonlah keampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya).” Surah Hud (11):61; "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah Nur [24]:31); begitu juga firman Allah bahawa, "Dia mencintai orang-orang yang bertaubat." (Surah Al-Baqarah [2]:222) dan "Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman, dan mengerjakan amal soleh; maka Allah akan mengganti kejahatan mereka dengan kebaikan, dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Furqan [25]:70)
Walau bagaimanapun taubat ini harus dilakukan dengan syarat-syarat khususnya pada waktu yang tepat sehingga taubat itu dapat memberikan kesan dan berguna. Di antara syarat-syarat yang harus dikerjakan oleh para pendosa adalah: 1. Penyesalan bersungguh-sungguh atas perbuatannya. 2. Menebus segala perbuatan yang tidak layak ia kerjakan (apabila ia telah merampas hak seseorang maka ia harus mengembalikan hak tersebut atau meminta keredaan daripadanya). 3. Memutuskan untuk tidak lagi mengerjakan perbuatan dosa tersebut. 4. Bertaubat pada waktu masih lapang bukan tatkala malaikat maut datang menjemput.
[9]. Wasāil al-shiʻah, jil. 2, hal. 445, hadis ke-2603, 2605, dan 2606; jil. 3, hal. 200; jil. 6, hal. 219; jil. 11, hal. 204.
[10]. Sila lihat, Mizān al-Hikmah, huruf Ta, tema taubat.
[11]. "Akan tetapi dosa syirik memiliki perhitungan tersendiri. Al-Qur'an menandaskan, "Dan permintaan keampunan daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapaknya (baca: bapa saudaranya, Azar), tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah ia janjikan kepadanya. Maka apabila jelas bagi Ibrahim bahawa ia adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri darinya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun." (Surah Al-Taubah [9]:114) Istighfar yang dilakukan Ibrahim bagi ayahnya (Azar) hanya kerana janji yang diberikan kepadanya. Tafsir Nemune, jil. 5, hal. 304.
[12]. Untuk telaah lebih jauh tentang makna dan syarat-syarat syafaat, sila lihat, Tafsir Nemune, jil. 13, hal. 304; jil. 9, hal. 90; jil. 1, hal. 228; jil. 1, hal. 229; jil. 1, hal. 235 dan Terjemahan Persia Tafsir al-Mīzān, jil. 1, hal. 238-265.
[13]. Tafsir Nemune, jil. 22, hal. 555-556.
[14]. Terjemahan Parsi, Tafsir al-Mīzān, jil. 1, hal. 240.
Terjemahan pada Bahasa Lain
Opini
Bilangan komen 0
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Populer Hits