Carian Terperinci
Pengunjung
11750
Tarikh Kemaskini 2013/01/24
Ringkasan pertanyaan
Siapakah yang akan masuk ke dalam syurga?
soalan
Siapakah yang akan masuk ke dalam syurga?
Jawaban Global
Dengan mengamati ayat-ayat al-Qur'an dapatlah difahami bahawa syurga merupakan janji tetap Allah (s.w.t)  yang telah diperuntukkan bagi orang-orang "muttaqin", "mu’min" dan orang yang patuh terhadap seluruh perintah Allah (s.w.t) dan Rasulullah (s.a.w). Orang seperti ini adalah insan yang benar-benar bahagia dan berjaya.
Dengan menyemak perintah-perintah Allah (s.w.t) dan Rasulullah (s.a.w), antara yang kita temui ialah ketaatan terhadap wali amr, mengenal imam dan menunaikan hak-hak Ahlulbait (a.s). Tidak syak lagi bahawa mereka yang tidak memiliki keyakinan dalam hati, lisan dan tidak mentaati Allah (s.w.t), Rasulullah (s.a.w), Qur'an dan Ahlulbait (a.s) bukanlah orang yang benar-benar beriman. Selain itu mereka ini tidak akan memperolehi janji Allah berupa syurga. Lantaran al-Qur'an menyatakan: "Sesungguhnya bagi orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh adalah syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar." (Qs. Al-Buruj [85]:11) Sebenarnya syurga atau neraka merupakan tindak balas keyakinan dan amalan yang kita miliki di dunia. Sesuai dengan ayat al-Qur'an: “إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لأنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا” (Sekiranya engkau berbuat kebajikan maka kebajikan itu untuk dirimu sendiri. Sekiranya engkau berbuat keburukan maka baginya keburukan itu).
Kewajipan menaati imam dan Ahlulbait secara mutlak lebih tinggi dari dakwaan kecintaan terhadap mereka. Hal ini bukanlah hanya wujud dalam mazhab Syiah sahaja. Rahsia kemasukan seseorang itu ke dalam syurga akibat mengenali dan mempunyai makrifat terhadap imam terletak pada asal muasal pemahaman seperti: makna Imam, keharusan taat kepada imam, keharusan adanya imam, keperluan terhadap imam dalam mengenal kebahagiaan dan sebagainya.
Pendek kata, barang siapa tidak sampai kepada hakikat, tidak bersikap main-main dalam mencari kebenaran dan ianya bukanlah termasuk dalam golongan muqassir, maka sesungguhnya ia tidak layak untuk dikirim ke neraka. Ini disebabkan neraka merupakan kediaman pelaku dosa, bukan bagi mereka yang tidak mengenal kebenaran dan bukan juga bagi mereka yang belum sampai kepada kebenaran.
Jawaban Detil
Syurga merupakan janji yang pasti daripada Allah (s.w.t),[1] sekarang masalah yang dikemukakan ialah siapakah yang termasuk dalam golongan mereka yang dijanjikan Allah (s.w.t) untuk masuk ke dalam syurga? Dengan mengkaji sekumpulan ayat-ayat berkaitan dengan penghuni syurga dapatlah disimpulkan bahawa, "Allah menjanjikan kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat tinggal yang bagus di syurga ‘Adn." (Qs. Al-Taubah [9]:72) Untuk masuk ke dalam syurga terdapat sebuah syarat dan syarat itu adalah beriman (mukmin). Itu sahaja. Namun siapakah yang disebut sebagai mukmin? Apakah cukup sekadar pengungkapan lisan dengan dua kalimat syahadah dapat menghasilkan iman dan termasuk ke dalam golongan orang beriman?
"Barang siapa taat kepada Allah dan rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedangkan mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar." (Qs. Al-Nisa [4]:13) Penghuni syurga daripada orang yang beriman adalah mereka yang menaati Allah (s.w.t) dan Rasulullah (s.a.w) secara mutlak. Namun bagaimana ketaatan kepada Allah (s.w.t) dan Rasulullah (s.a.w)  itu?
Hal ini dapat diteliti dalam ayat-ayat al-Qur'an yang menyebut bahawa ketaatan ini terdiri dari dua bahagian: Ketaatan ideologi (i'tiqādi) dan ketaatan praktikal ('amali).
"Sesungguhnya syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai untuk orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh; itulah keberuntungan yang besar." (Qs. Al-Buruj [85]:11) Barang siapa yang beriman, memiliki keyakinan dan mengamalkan apa yang diyakininya maka ia akan menjadi penghuni syurga.
Kerana itu, selama kita tidak mentaati Rasulullah (s.a.w) kita tidak termasuk sebagai orang yang taat dan patuh. Sedangkan ketaatan juga meliputi ketaatan hati dan keyakinan di samping melaksanakannya hingga ke peringkat perbuatan. Apabila kita tidak meyakini satu sahaja perintah atau perbuatan Rasulullah (s.a.w) atau kita tidak mengerjakannya maka kita belum termasuk dalam golongan mereka yang taat dan patuh secara mutlak.
 
Apa yang menjadi buah keimanan dan amal soleh?
Dalam perspektif al-Qur'an, kombinasi indah dan penuh hikmah antara iman dan amal soleh ini menghasilkan buah ketakwaan dan orang bertakwa adalah penghuni syurga: "Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya; mereka kekal di dalamnya." (Qs. Ali Imran [3]:15)
Dari apa yang telah dibahaskan dapatlah kita ambil sebuah kesimpulan iaitu:
Mutiara kebahagiaan ialah ketakwaan dan ketakwaan merupakan ketaatan secara mutlak terhadap seluruh perintah Allah (s.w.t) dan Rasulullah (s.a.w). Meskipun ketakwaan ada tingkat dan darjatnya, tingkat yang paling rendah ialah menunaikan segala yang diwajibkan dan menghindari segala perbuatan dosa. Oleh itu, yang paling utama ialah kita harus berusaha untuk beramal dengan seluruh kewajipan dan perintah-perintah secara mutlak.
Antara perintah Rasulullah (s.a.w) adalah keharusan mengenal dan menaati para khalifah dan imam yang benar setelah kewafatan baginda.[2] Tidak diragukan bahawa mereka yang tidak memiliki keyakinan dalam hati, lisan dan tidak menaati Allah (s.w.t), Rasulullah (s.a.w), Qur'an dan Ahlulbait (a.s) bukanlah ahli iman dan amal soleh dan tidak memiliki darjat ketakwaan.
Salah satu noktah penting yang harus disebutkan di sini adalah apa yang diseru al-Qur'an dalam ayat 59 surah al-Nisa (4) berkenaan dengan ketaatan kepada "wali amr" adalah bersifat mesti dan wajib. Kewajipan ini juga setara dengan kewajipan menaati Allah (s.w.t).
Perlu disebutkan bahawa "wali amr" yang mana ketaatan kepadanya adalah setara dengan ketaatan kepada Allah (s.w.t) perlulah seorang yang maksum. Sesiapapun yang menduduki takhta kekuasaan tidak dapat disebut sebagai "wali amr"; Ini disebabkan sekiranya "wali amr" bukan seorang maksum, maka kemungkinan titahnya tidak sama dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Apabila terjadi demikian perintah untuk mentaati Allah (s.w.t) dan mematuhi wali amr boleh mengakibatkan dua perkara yang bertentangan berkumpul menjadi satu, sedangkan perkara ini mustahil.
Berkenaan dengan kebahagiaan dan peranan iman terhadap masalah imāmah dalam menghasilkan kebahagiaan seperti yang disentuh sebelum ini, selanjutnya kami akan mengajak anda untuk membahaskan bagaimana penyelenggaraan dan pengaruh imam dalam menaungi kebahagiaan kepada seseorang atau masyarakat, akhirnya menjadi penghuni syurga atau nerakanya seseorang.[3]
 
Kebahagiaan dan pengaruh keyakinan kepada imam
Pada bahagian ini, kami mengajak anda untuk membahaskan apa yang telah disebutkan sebelum ini berkaitan dengan definisi kebahagiaan, kemenangan, kejayaan di dunia dan akhirat. Begitu juga mengenal pengaruh keyakinan kepada imam dan imamah dalam meraih kebahagiaan dan kemenangan.
 
A.  Apakah itu kebahagiaan?
Setiap orang memiliki berbagai definisi tentang kejayaan dan kebahagiaan. Akan tetapi nampaknya kepelbagaian definisi ini tidak memberikan keuntungan bagi mereka yang mencari hakikat.
Oleh kerana itu, lebih baik kita mencari penafsiran dan definisi sebenar daripada apa yang diinginkan Allah (s.w.t) bekenaan dengan perbezaan kelompok " orang yang beruntung" dan " orang yang rugi."
Apabila Tuhan ingin memperkenalkan watak seorang insan yang berjaya seperti Nabi Ibrahim (a.s), Dia mengemukakan karakteristik seperti ini, "Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk pengikut Nuh. (Dengan tanda-tanda) Ketika ia datang kepada Tuhan-nya dengan hati yang suci." (Qs. Shaffat [37]:83-84) begitu juga di antara doa Nabi Ibrahim (a.s): "Dan janganlah Engkau hina aku di hari mereka dibangkitkan. (iaitu) di hari harta dan anak-anak tidak lagi berguna. . kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang suci.” (Qs. Al-Syuʻara [26]:87-89)
Apa yang dapat kita petik dari penegasan al-Qur'an berkaitan hati yang suci ini ialah: orang yang berjaya dan bahagia adalah orang yang telah hidup di dunia sehingga apabila ia bertemu dengan Tuhan, maka ia sudah ada bekalan “hati yang suci”. Menariknya di sini ialah ayat berikutnya kita menemukan: "Dan (pada hari kiamat) didekatkanlah syurga (yang telah menghiasi dirinya) kepada orang-orang yang bertakwa." (Qs. Al-Syuara [26]:90) Pesan ayat ini adalah dengan memiliki “hati yang suci” (qalbun salim) kita dapat mencapai darjat takwa dan ganjaran syurga adalah untuk orang-orang yang bertakwa.
Sebagai hasilnya: Kebahagiaan, kejayaan, kemenangan bermakna keupayaan dan usaha untuk mendapatkan hati yang suci! Pemilik kebahagiaan yang sebenar adalah orang yang memiliki “hati yang suci”. Kebahagiaan seiring sejalan dengan kesucian dan keselamatan hati.
 
B.  Pengaruh keyakinan terhadap masalah imamah dalam mencapai kebahagiaan
Para perawi dan penulis Ahlusunnah menukil riwayat penting berikut ini di mana sebahagian daripada riwayat tersebut disebutkan demikian iaitu Rasulullah (s.a.w)  bersabda kepada Ali (a.s):
"Umat Musa terbahagi menjadi 71 firqah di mana (hanya) satu firqah yang selamat dan selebihnya akan memasuki neraka; Umat Isa terbahagi menjadi 72 firqah di mana (hanya) satu firqah yang selamat dan selebihnya akan memasuki neraka; dan umatku akan terbahagi menjadi 73 firqah di mana (hanya) satu firqah yang selamat dan selebihnya akan memasuki neraka. Imam Ali (a.s) bertanya: "Wahai Rasulullah! Siapakah gerangan firqah yang mendapatkan keselamatan (firqah al-najah) itu? Rasulullah (s.a.w) bersabda: "(Yang selamat) adalah yang berpegang teguh kepada jalanmu dan jalan pengikutmu."[4]
Buraidah al-Aslami (sahabat Rasulullah (s.a.w) dalam pandangan Ahlusunnah) menukilkan daripada Rasulullah (s.a.w) bahawa yang dimaksud dengan al-shirat al-mustaqim (jalan lurus) pada ayat "Ihdina al-Shirat al-mustaqim" adalah Muhammad dan keluarga Muhammad.[5]
Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Barangsiapa yang ingin seperti angin kencang, memotong laju melintasi jalan (jambatan) dan masuk ke dalam syurga tanpa hisab maka ia hendaklah menerima wilayah wali, wasi dan khalifahku atas keluargaku (wilayah) Ali bin Abi Thalib."
Dan barang siapa yang ingin masuk ke dalam neraka jahannam "Maka tinggalkanlah wilayahnya. Demi keagungan Tuhanku, aku bersumpah bahawa sesungguhnya ia adalah gerbang Tuhan (babuLlah), sesungguhnya ia adalah al-shirat al-mustaqim (jalan lurus), sesungguhnya tentang wilayahnya yang akan ditanyakan kelak oleh Allah (s.w.t) pada hari Kiamat."[6]
 
Amalan perbuatan siapa yang dikabulkan?
Wilayah merupakan syarat untuk penerimaan ibadah!
Sesuai dengan riwayat yang berulang kali dinukil oleh Ahlusunnah, asas dan syarat Tuhan dalam penerimaan amal perbuatan manusia adalah penerimaan mereka terhadap wilayah Ali bin Abi Thalib (a.s)!
Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Memandang wajah Ali bin Abi Thalib adalah ibadah. Mengenang beliau adalah ibadah. Iman seseorang hanya akan diterima dengan (dasar) kecintaan kepadanya dan kebencian terhadap musuh-musuhnya."[7]
Yang dapat disimpulkan dari riwayat ini adalah bahawa syarat diterimanya iman (apatah lagi ibadah) adalah wilāyah (menjadikannya sebagai wali) dan barā'at (menolak orang-orang yang memusuhinya).
Ulama Ahlusunnah menukil lagi bahawa:
"Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Wahai Ali! Apabila ada seseorang beribadah kepada Tuhan sekadar ukuran usia Nabi Nuh (a.s), memiliki emas sebesar gunung Uhud lalu emas itu ia infakkan di jalan Allah, sepanjang hidupnya ia berjalan kaki untuk menunaikan haji, kemudian ia mati dalam keadaan teraniaya di antara Shafa dan Marwah, namun ia tidak menerima wilayahmu, maka tidak sekali-kali ia akan dapat mencium semerbak bau syurga dan memasuki syurga."[8]
Adapun perbahasan hal ehwal apakah orang yang selain Syiah akan memasuki neraka atau tidak merupakan perbahasan yang akan kami sentuh secara umum sebagai lanjutan perbahasan di atas.
Orang-orang yang tidak beriman terhadap agama Islam terdiri dari dua kelompok:
1.   Kelompok yang dikenal dengan terma jahil muqassir dan kafir: Ertinya Islam telah sampai kepada mereka dan mereka pun tahu tentang hakikat Islam, namun ia tidak bersedia menerimanya lantaran keras kepala dan memberontak. Kelompok ini layak untuk mendapatkan azab dan kekal dalam neraka.
2.   Kelompok yang dikenal dengan termakata jahil qasir: Ertinya Islam atau pesanan Islam tidak sampai kepada mereka, atau juga Islam yang disampaikan kepada mereka sangat mentah dan bukan Islam yang sebenarnya. Orang-orang ini memandang Islam setara dengan agama-agama seperti Kristian, Yahudi, Hindu dan Buddha. Orang-orang yang termasuk dalam kelompok ini adalah tergolong orang-orang yang selamat lantaran kejujuran mereka dalam agamanya.
 
Sesuai dengan pandangan Islam apabila orang seperti ini jujur dalam agama dan ajarannya (yang bersandar pada fitrah) misalnya tidak suka berkata dusta, menentang perbuatan tidak berperikemanusiaan maka mereka adalah orang-orang yang selamat dan orang-orang yang berharap pada rahmat Ilahi.
Perbahasan ini berkaitan dengan para ilmuan yang bertauhid dan para pengenal Tuhan yang belum mengenal Islam secara tepat, begitu juga ianya ditujukan kepada Ahlusunnah yang masih belum mengenal Syiah sebagaimana seharusnya ia dikenal.
Pendeknya, barang siapa yang belum sampai kebenaran dan ia juga tidak memandang remeh dalam mencari hakikat, maka ia tidak layak mendapatkan azab; ini disebabkan azab adalah bagi para pendosa bukan bagi orang yang tidak mengenal hakikat dan kebenaran, sedangkan kebenaran belum lagi sampai kepada mereka.[]
 
Untuk telaah lebih jauh sila lihat beberapa indeks berikut ini:
1.   Neraka dan non-Muslim, pertanyaan 47 (Site: 283)
2.   Qashirin dan Orang-orang yang selamat dari Api Neraka, pertanyaan 323 (Site: 1751)
 

[1]. "Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa." (Qs. Al-Ra'ad [13]:35)
[2]. "AṭiʻuLlah wa Aṭiʻurrasul wa Ulil Amri minkum," (Qs. Al-Nisa [4]:59); Qul lā as'ulukum ʻalaihi ajran illa al-mawaddah fī al-qurba", (Qs. Al-Syura [42]:23); "Man kuntu mawlahu fahadha Aliyun Mawlahu," al-Mustadrak 'ala al-Shahihain, jil. 3, hal. 109.
[3]. Namun mengenai perbahasan keperluan manusia terhadap imam memerlukan perbahasan yang lebih mendalam, dan hal tersebut tidak dapat dipenuhi dalam artikel seperti ini, kerana itu perincian perbahasan ini akan kami letakkan pada waktu yang lain.
[4]. Al-Ishāba fii Tamyyizz al-Shahābah, ʻAsqalani, jil. 2, hal. 174.
[5]. Rasyfatu al-Shad, Sayid Syihabuddin Syafiʻi, hal. 25; Yanābi' al-Mawaddah, Syaikh Salman Hanafi, hal. 114.
[6]. Syawāhid al-Tanzil, Huskani, jil. 1, hal. 59 & 90.
[7]. Manāqib Khawarazmi, hal. 19 dan 212; Kifāyat al-Thālib, Ganji Syafi'i, hal. 214.
[8]. "Thumma lam yuwalikum ya Ali lam yashumm rā’ihata al-jannah wa lam yadkhuluha." Khatib Khawarazmi, Maqtal al-Husain (a.s), Khawarazmi, jil. 1, hal. 37.

Terjemahan pada Bahasa Lain
Opini
Bilangan komen 0
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Pertanyaan-pertanyaan Acak

Populer Hits