Carian Terperinci
Pengunjung
4246
Tarikh Kemaskini 2012/05/17
Ringkasan pertanyaan
Apakah kecenderungan insan ke arah keburukan merupakan kehendak Tuhan?
soalan
Dengan memperhatikan ayat, "Dan kamu tidak dapat berhendak kecuali apabila dikehendaki oleh Allah, Tuhan semesta alam", apakah ini bererti bahawa kecenderungan manusia ke arah keburukan juga merupakan kehendak Tuhan? Tidakkah ini merupakan penghalang tujuan Ilahi?
Jawaban Global

Yang menjadi pertanyaan ialah ayat ke 29 suraha al-Takwīr[i], di mana ianya mirip dengan ayat ke 30 surah ad-Dahr (al-Insān)[ii]. Jika kita perhatikan dalam surah al-Takwīr dan al-Insān, ayat-ayat sebelum ayat yang menjadi pertanyaan tersebut berbicara tentang al-Quran dan ayat-ayat Ilahi yang berada di bawah tajuk “tazkirah” (تذكرة) dan “zikr” (ذكر),  Kalimat yang terdapat dalam ayat ke 29 surah al-Dahr ini juga diulang lagi dalam surah al-Muzammil dengan rangkaikata yang hampir sama.

Setelah ayat 29 surah al-Dahr membicarakan peringatan (تذكرة) ayat-ayat Ilahi, iaitu barang siapa yang "berkehendak" pasti ia akan mengambil jalan untuk menuju kepada Tuhannya, begitu juga setelah ayat-ayat ke 27 dan 28 surah at-Takwīr yang berbicara tentang adanya peringatan al-Quran dan kalam Ilahi bagi penduduk dunia dan orang mukminin yang "berkehendak" pada jalan yang lurus, selanjutnya Allah berfirman, "Dan selama Allah (Tuhan semesta alam) tidak menghendaki, maka kalian pun tidak akan mampu berkehendak".

Ini disebabkan kemungkinan ungkapan, "Bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus" (لمن شاء منكم ان يستقيم) dalam surah at-Takwir, atau dalam surah ad-Dahr, "Sesungguhnya (ayat-ayat) ini merupakan suatu peringatan. Maka barang siapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya), nescaya dia akan mengambil jalan untuk menuju kepada Tuhan-nya" (ان هذه تذكرة فمن شاء اتخذ الى ربه سبيلا) demikian juga pada surah al-Muzammil ayat ke 19, yang berfirman, "Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan. Maka barang siapa yang menghendaki, nescaya ia akan menempuh jalan (yang dapat menyampaikan dirinya) kepada Tuhan-nya", maka akan muncul sangkaan "kehendak untuk bertahan" dan "istiqamah dalam ketaatan dan penghambaan" sebagai kebebasan memilih dalam autoriti manusia.  Dari perspektif istiqāmah dan mengambil jalan kepada Allah dikatakan Tuhan memerlukan. Oleh itu, demi menyingkirkan persangkaan ini maka kehendak dan keinginan mereka dianggap bergantung pada kehendak Allah, Tuhan semesta alam, sekalipun kehendak ini berada di jalan penghambaan dan sulūk ke arah-Nya. Tambahan lagi kesan kehendak dan keinginan Ilahi diterangkan dengan perantara dan jalan yang menakluki keinginan hamba sehingga menjadikan pengecualian setelah penafian memahamkan bahawa manusia (hamba) tidaklah bebas dalam berkehendak melakukan sesuatu yang mereka inginkan, melainkan kehendaknya berada dalam kehendak Tuhan walau apa sahaja "aktiviti pilihan manusia" ini bergantung pada "kehendak serta ikhtiar" nya sendiri.

Kesimpulannya: Pertama, kehendak dan pelaksanaan perbuatan-perbuatan yang buruk dan tercela, bukan merupakan kehendak Tuhan secara langsung. Kedua, kehendak manusia tidak akan memberikan kesan apa pun tanpa adanya kehendak dan izin (yang bersifat takwīniyyah) dari Tuhan. Ini disebabkan prinsip asal kewujudan manusia adalah daripada-Nya. Dengan demikian mahu tidak mahu kehendaknya pun berasal daripada Tuhan semesta alam. Bukan hanya dalam menempuh jalan menuju ke arah Tuhan, istiqāmah di jalan yang benar, dan ... manusia memiliki autoriti sendiri, melainkan dalam seluruh cabang kewujudannya, ia sentiasa memerlukan-Nya, sebagaimana firman-Nya, "Segala sesuatu berasal dari sisi-Nya", dan "Tidak ada suatu pemberian pun kecuali pemberian-Nya".

Dengan perkataan lain, irādah (إرادة) Ilahi terbahagi dalam dua bahagian iaitu irādah dhātī (ذاتى) dan irādah fiʻlī (فعلى). Irādah fiʻlī kadangkala merupakan irādah takwīniyyah, dan kadang-kadang merupakan irādah tasyri'iyah. Sementara itu di peringkat irādah dhātī, di mana sifat dhātī yang lain sendiri adalah hak, tidak ada seseorang dan sesuatu pun yang dapat menemui jalan dan berinteraksi dengan kehidupan-kehidupan eksternal. Di peringkat kehendak fiʻlī takwīniyyah iaitu ciptaan dunia dan realiti  eksternal, termasuk juga irādah (dan ilmu) Ilahi. Tidak ada satu pun kehidupan yang memiliki kewujudan sendiri sehingga bebas dan berkehendak. Hanya pada tingkat irādah fiʻlī tasyri'iyyah-lah (pengutusan rasul dan penurunan kitab Ilahi) berasaskan irādah fiʻlī dan izin takwīniy tersebut manusia menjadi seorang yang boleh memilih, berkehendak dan diberi izin. Mereka bebas dalam memilih jalan kebenaran, petunjuk, kebahagiaan atau kebatilan, kesesatan dan kesengsaraan, di mana dalam bentuk pertama,  mereka akan menuju ke syurga, sementara bentuk kedua mereka akan menapak ke arah neraka.

Oleh itu, dalam kecenderungan terhadap keburukan dan melaksanakan perbuatan tak sesuai, tidak terdapat penyalarasan antara irādah fiʻlī takwīniyyah dan irādah fiʻlī tasyri'iyah. Tuhan tidak berkehendak dan reha dengan pelaksanaan hal-hal tersebut, meskipun secara takwīniyyah keizinan dan kehendak Ilahi tetap bersamanya. Tanpanya siapapun tidak mampu melakukan perbuatan apa sahaja, sekalipun dalam berkecenderungan dan berkehendak.

Perlu diingatkan di sini, sebahagian cabang-cabang kehendak (hamba yang mukmin) ke atas kehendak Tuhan hanyalah dianggap bermakna keredaan hamba atas keredaan Allah yang memfokuskan terhadap perincian dan penerangan riḍa, bahagian-bahagian, tahap-tahapnya dan lain-lain lagi…. Namun, yang diterangkan adalah apa yang sesuai dengan konteks ayat-ayat dan pengertian penting daripada ayat yang menjadi pertanyaan.

 


[i] . "Dan kamu tidak dapat berhendak kecuali apabila dikehendaki oleh Allah, Tuhan semesta alam."

[ii] . "Dan kamu tidak mampu untuk berkehendak kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

 

Jawaban Detil

Untuk lebih mudah dan dan jawapan yang sesuai dengan ayat yang menjadi pertanyaan ini, perlu disebutkan juga penelitian dan pengamatan secara ringkas tentang ayat-ayat sebelumnya bersama dengan ayat-ayat yang mirip dengannya di dalam surah lain seperti ayat 29 dan 30 surah al-Dahr (al-Insan) serta ayat 19 surah Al-Muzammil.

 

Berikut kami akan menganalisa ketiga kelompok ayat tersebut:

  1. Ayat yang menjadi pertanyaan ialah ayat ke 29 surah at-Takwir yang merupakan surah Makkiyyah. Manakala dua ayat sebelumnya Allah berfirman, "Al-Qur’an itu tiada lain hanyalah peringatan bagi semesta alam, bagi siapa di antara kamu yang mau menempuh jalan yang lurus." Kemudian pada ayat ke-29 berfirman, "Dan kamu tidak dapat berhendak kecuali apabila dikehendaki oleh Allah, Tuhan semesta alam."[1]

Ringkasan daripada ayat-ayat ini ialah al-Qur’an merupakan kalam Allah dan kebenaran, (bukannya kata-kata syaitan "Dan bukan kalam syaitan yang terkutuk" Qs. al-Takwīr: 25, bukan yang lain kecuali peringatan dan nasihat bagi penghuni alam). Sudah tentu nasihat dan peringatan ini ditujukan kepada setiap mereka yang berkehendak untuk menempuh jalan yang benar.

Di sini kemungkinan orang yang dibicarakan oleh ayat, "Bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus" beranggapan bahawa keinginan beristiqamah, berada di jalan yang lurus, mengambil jalan ke pada Allah, membusanakan dengan persalinan ketaatan dan ibadah adalah pilihan seseorang individu secara bebas, iaitu jikalau mereka ingin maka mereka akan berada di jalan yang lurus. Begitu juga sebaliknya. Ini bererti Allah memerlukan dan berhajat kepada mereka dalam istiqamah yang mereka inginkan. Oleh itu untuk membidas tanggapan seperti ini, Allah berfirman bahawa kehendak mereka itu bergantung kepada kehendak Allah (s.w.t). Mereka tidaklah ingin beristiqamah (tidak mampu, tidak diizinkan, dan tidak mempunyai kudrat untuk berkehendak), melainkan apabila Allah berkehendak agar mereka ingin beristiqamah![2]

Dengan kata lain, perbuatan-perbuatan ikhtiari manusia (bahkan keinginan manusia itu sendiri) itu berkehendak melalui tujuan dan keinginan Allah (s.w.t). Zat suci Ilahi yang berkehendak supaya insan bergantung atas irādah dan ikhtiar mereka dengan kehendaknya sendiri. Sudah tentu di dalam ayat ini berkenaan dengan perbicaraan orang beriman yang mempunyai niat untuk melangkahkan kaki di jalan Ilahi dan ingin sampai kepada keselamatan serta kebahagiaan. Namun pesanan al-Quran tidak hanya khusus untuk mereka sahaja, bahkan meliputi seluruh manusia.

Ayat-ayat lain yang mempunyai persamaan dengan ayat yang diperbahaskan (iaitu ayat ke-29 surah at-Takwīr) ialah bahagian ayat ke-30 surah al-Dahr (dan ayat-ayat sebelumnya). Dalam ayat ke-29 dan 30 surah Ad-Dahr ini Tuhan berfirman, "Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan. Maka barang siapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya), nescaya dia mengambil jalan untuk menuju kepada Tuhan-nya. Dan kamu tidak mampu untuk berkehendak kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."[3]

Bahagian ayat-ayat terakhir surah Al-Dahr (al-Insān) ini mempunyai konteks yang mirip dengan konteks-konteks ayat Makkiyyah. Dengan menerima pandangan ini, awal surah ini adalah Madaniyyah dan bahagian akhirnya (sebanyak sembilan ayat) menjadi Makkiyyah.[4]

  1. Ayat "Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan..." akan dijelaskan dalam perbahasan bahagian ke-tiga nanti. Namun pemahaman dan maksud ayat "Dan tidaklah kamu akan mampu untuk berkehendak kecuali bila dikehendaki Allah" adalah mirip dengan ayat 19 surah al-Takwīr itu juga.

Oleh kerana Allah menggunakan perkataan berbentuk negatif (و ما...) di permulaan ayat dan menyempurnakan kalam dengan pengecualian (الاّ ان...), dari satu perspektif ia menerangkan bahawa kewujudan dan realiti kehendak insan (hamba) bergantung ke atas kehendak Allah.

Dari sinilah kehendak Zat Suci itu memberikan kesan dalam pekerjaan hamba melalui jalan pergantungan dan perhubungan dengan kehendak hamba. Secara langsung dan tanpa perantara ia tidak mempunyai pergantungan dengannya sehingga muncul keraguan ini iaitu kehendak manusia tidak mempunyai pengaruh dalam kerja-kerjanya dan apa sahaja yang dilakukan bukanlah ikhtiarnya. Dari sini, jika manusia melakukan perbuatan yang jahat atau memiliki kecenderungan dan kehendak yang buruk, adalah secara langsung kehendak Allah. Oleh itu perlaksanaan perbuatan jahat boleh kaitkan dengan Allah!

Dari perspektif lain dapat difahamkan bahawa insan tidak bebas dalam apa jua kehendak yang ingin dilakukan, kehendaknya itu adalah kehendak Allah, perbuatan hamba secara ikhtiar disandarkan dengan “ikhtiar”-Nya walaupun kehendak dan ikhtiar ini tidak disandarkan kepada kehendak dan ikhtiar yang lain.

Kesimpulannya keinginan dan kehendak hamba bergantung pada kehendak dan keinginan Tuhan dan tanpa adanya izin Tuhan (keizinan takwīniyyah) maka kehendak ini tidak akan memberikan pengaruh sedikitpun, ini disebabkan prinsip kewujudan manusia adalah daripada-Nya, dengan demikian mahu ataupun tidak mahu, kehendak insan juga berasal dari Dzat yang telah memberikan kewujudan itu.

  1. Dalam ayat ke-19 surah al-Muzammil, firman Allah "Sesungguhnya ini adalah suatu peringatan. Maka barang siapa yang menghendaki, nescaya ia menempuh jalan (yang dapat menyampaikan dirinya) kepada Tuhan-nya" adalah ayat yang sama di dalam ayat ke-29 surah al-Dahr. Terdapat kata ganti nama hādhihi (هذه) atau petunjuk kepada ayat-ayat sebelumnya iaitu di tahap menegah dan menasihati serta mempunyai nisbah khusus dengan makkiyyahnya ayat ini, terutamanya ayat-ayat surah yang diturunkan di awal-awal biʻthah nabi. Ataupun sepertimana surah al-Dahr yang menunjukkan tentang ayat-ayat berkaitan dengan berjaga dan bertahajjud di waktu malam, seperti itu juga surah al-Dahr memperkenalkan jalan khusus untuk memberi bimbingan dan hidayah kepada seseorang hamba untuk ke jalan Tuhan. Namun, walau apa pun perbicaraan ayat-ayat dalam surah Muzammil dan surah al-Dahr tentang tazkirah (samada tahajjud atau solat malam) untuk individu yang mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah (mengambil jalan), walau apa pun surah al-Takwīr iaitu al-Qur’an dan kalam Allah menganggap “zikr” untuk penghuni dunia serta daripada kalangan orang beriman yang inginkan mustaqīm sambil melangkah di jalan sirāṭul haq (شاء ان يستقيم), maka dari satu perspektif pesanan Ilahi ini sangat jelas dan memberi petunjuk bahawa jalan untuk sampai kepada kedekatan, berada di sisi Ilahi dan berada di jalan kebenaran juga tidak mungkin diterima melainkan daripada jalan al-Qur’an dan berpandukan hidayat dan kehendak Ilahi.

Dari perspektif yang lain, subjek ini memberi penjelasan sehingga maksud-maksud, kehendak-kehendak Ilahi dan kedermawanan juga turut bersama dengan perhatian dan keinginan-Nya dan sekiranya tidak ada kemuliaan, kebaikan, dan keagungan-Nya maka tidak ada sesuatupun dan tidak ada seorang pun yang memiliki kewujudan atau pun cahaya, kerana, "Tuhan adalah cahaya langit-langit dan bumi"[5] dan kedua-dua "yang menerima" dan "penerimaan" berasal daripada-Nya. Dari sinilah ahli falsafah mengatakan, "Yang menerima itu adalah daripada limpahan-Nya yang paling suci (al-aqdas)."[6]

Penyertaan antara satu sama lain ketiga-tiga kelompok ayat-ayat ini, termasuklah banyak lagi ayat-ayat lain yang ada di dalam al-Qur’an kita manfaatkan sebagai tauhid ʼAfʻalī (توحيد افعالى). Ketika kehendak dan keinginan manusia dalam seluruh ketaatannya mengikuti dan bersepakat dengan kehendak Tuhan di samping ilmu Allah meliputi seluruh ilmunya, maka perbuatan-perbuatan dan kesan-kesan manusia adalah merupakan kesan-kesan dan perbuatan-perbuatan Allah. Tidak hanya lontarannya adalah lontaran Ilahi «ما رميت اذ رميت. لكن اللَّه رمى»[7], bahkan lebih dari itu ia tidak akan menganggap kerja-kerjanya berasal daripada dirinya sendiri, "Semuanya (berasal) dari sisi Allah,"[8] dan "Tidak ada pemberian kecuali pemberian-Nya"[9] Ia melupakan kewujudan dirinya, ia keluar daripada “keakuan”-nya dan menampilkan asma dan sifat Tuhan.

Sudah tentu pernyataan ini bukanlah bermakna keterpaksaan, bahagian dari keterpaksaan, atau kekurangan[10] melainkan merupakan mafhum yang mudah dan hakiki yang tinggi. Meskipun kemahuan serta keinginan hamba merupakan kehendaknya, akan tetapi ia juga merupakan kehendak Tuhan.

Perbahasan sebelum ini dapat dijelaskan dengan cara berikut: irādah dan keinginan Tuhan terbahagi menjadi dua iaitu irādah dhātī (ارادة ذاتى) dan irādah fiʻlī (ارادة فعلى). Irādah dhātī adalah Irādah yang pasti yang berada di peringkat hakikat zat ilahi serta menyatu dengan seluruh sifat-sifat lain yang dimiliki oleh Tuhan. Irādah dhātī inilah ilmu Tuhan, dan makna serta kefahaman yang ada di dalam kehendak manusia tidak benar dalam kaitannya dengan kehendak Tuhan. Dalam irādah dhātī tidak ada sama sekali hubungan dan perhatian antara ciptaan-ciptaan eksternal dengan sistem yang berkuasa ke atas hakikat-hakikat ʻainī (hakikat material yang wujud dan dapat dilihat)[11].

Irādah fiʻlī adalah irādah Allah (s.w.t) dalam peringkat perbuatan dan di dalam hubungan dengan ciptaan-ciptaan eksternal dunia di mana ianya juga adalah manifestasi dan jelmaan irādah zat-Nya yang suci.

Irādah fiʻlī pastinya kadang-kadang muncul dalam bentuk tashriʻiyyah, pengutusan para rasul, penurunan kitab untuk membimbing manusia secara umum dan untuk manusia-manusia beriman secara khusus. Hukum-hukum, perintah-perintah dan larangan-larangan ini (Irādah tashriʻī) merupakan ṣirāṭ dan jalan tashriʻī Allah (s.w.t).[12]

Kadang-kadang ianya dalam bentuk takwīniyyah (irādah takwīniyyah), iaitu penciptaan dunia kewujudan dan sistem qada dan qadar Allah (s.w.t), realiti eksternal dan kenyataan ilmu Ilahi. Berasaskan sistem iḥsān (perhatian) dan kebijaksanaan Ilahi, seluruh ciptaan akan melangkah ke arena kewujudan dengan izin takwinī-Nya dan dibimbing dari alam kegelapan dan ketiadaan ke alam cahaya dan kewujudan (yang berdasarkan hakikat wujud dan ciri-ciri khasnya serta karakteristik-karakteristik wujud seperti kehendak dan lain sebagainya).

Dengan ini dapat dikatakan bahawa tidak wujud kehendak lain dalam irādah zat Allah (s.w.t), iaitu keinginan yang bertentangan dengan irādah itu. Tidak ada juga yang diwujudkan daripada diri-Nya di dalam peringkat irādah fiʻlī takwīnī sehingga mampu berhadapan dengan irādah Ilahi, atau mampu bebas merdeka dan menjadi realisasi tanpa irādah dan keizinan takwīnī-Nya.

Insan dicipta sebagai seorang yang dapat membuat pilihan dan mempunyai kehendak berasaskan irādah fiʻlī dan keizinan takwīnī tersebut. Mereka ini bebas dalam memilih jalan yang benar, kemajuan dan kebahagiaan atau jalan yang batil, kesesatan dan kebinasaan.

Dalam salah satu ayat-Nya Allah berfirman, "Sesungguhnya Kami telah menunjukkan jalan (yang lurus) kepadanya; samada ia bersyukur atau kufur."[13], pada ayat yang lain Allah berfirman, "Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan."[14] Demikian juga pada ayat yang lain berfirman,"Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang sesat."[15]

Berasaskan irādah, keizinan, kehendak takwīnī Ilahi, dan ikhtiar ini makhluk ciptaan Allah mematuhi segala peraturan Ilahi dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Dari jalan iradah tashrīʻī makhluk dapat meraih kebahagiaan dan syurga abadi (dengan penyelarasan irādah takwīnī). Ataupun dengan menderhakainya sehingga berakhir dengan kebinasaan dan azab api neraka (tanpa penyelarasan irādah takwīnī dan tashrīʻī).

Dengan kata lain, walaupun melaksanakan kedua-dua perbuatan baik dan jahat dalam irādah takwīnī Ilahi adalah bebas, namun irādah tashrīʻī Allah (s.w.t) adalah di atas perlaksanaan kerja-kerja baik (ḥasanah) dan kerja-kerja Ilahi. Manakala perlaksanaan kerja-kerja jahat dan tercela tidak bersesuaian ke atas hamba-hambanya.

Imam Riḍā (a.s) berkata ketika menjawab sebuah pertanyaan: “Tidak ada paksaan, dan tidak ada autoriti, bahkan hal ehwal yang berada di antara dua urusan”. Perawi hadis berkata, “Aku bertanya kepada Imam Riḍā (a.s), apakah dalam suruhan ini merupakan sebuah irādah bagi Allah (s.w.t)? Imam menjawab, “Adapun ketaatan-ketaatan yang disuruh kepadanya berada di dalam irādah dan kehendak Ilahi. Terdapat keriḍāan untuknya dan terdapat pertolongan atasnya. Irādah dan keinginan Allah (s.w.t) di dalam dosa-dosa ialah larangan, kemurkaan dan tidak ada bantuan ke atasnya…”[16]

Kesimpulannya, kecenderungan insan ke arah kejahatan dan jenayah tidak mungkin terjadi tanpa kehendak dan keizinan takwīnī Ilahi. Tanpa Keizinan Allah (s.w.t), tidak satupun urusan eksternal (termasuklah pemikiran, kehendak dan…. daripada menusia) menjadi realiti manakala kehendak takwīnī Ilahi itulah kebebasan dan ikhtiar hamba dalam berkehendak, berhasrat dan melaksanakan pekerjaan (samada baik atau buruk). Ini bukan sahaja tidak bertentangan dengan matlamat Ilahi itu, bahkan hanyalah jalan untuk sampai kepada kesempurnaan, kebahagiaan, kedekatan dan pertemuan dengan Allah, atau pun jalan untuk cacat cela, kekejaman, jauh dari Allah (s.w.t). Sementara syurga dan neraka pula berasaskan tanggungjawab yang sudah ditentukan dan dasar tanggungjawab manusia terletak di atas ikhtiar dan kehendaknya. Allah (s.w.t) menyediakan jalan dalaman (akal dan fitrah) dan jalan luaran (pengutusan para rasul, penurunan kitab dan pembimbing daripada kalangan imam maksum) supaya ada kemungkinan untuk memasuki rumah kenikmatan dan menjauhi pembalasan. Jalan ke syurga dan neraka, kebahagiaan dan kesengsaraan, malaikat dan syaitan dan lain-lain lagi sentiasa akan terpisah.

Banyak riwayat daripada Ahlul Bait (a.s) telah dinukilkan dalam tafsir dan takwil ayat-ayat perbahasan di mana secara ringkas, kami menghindari dari menyebutnya. Bagi mereka yang berminat bolehlah merujuk kepada tafsir-tafsir dan kitab-kitab hadis.[17]

Adalah penting disebutkan di sini bahawa perbahasan tentang masalah-masalah irādah Ilahi, irādah insan, hubungannya, paksaan dan pilihan, hal ehwal antara dua urusan, makhluknya segala perbuatan hamba-hamba… dan kehendak Allah serta pembahagiannya, beza antara keinginan, kehendak dan lain-lain memerlukan bidang yang sangat luas serta lebih dari cukup di dalam riwayat-riwayat, tafsir-tafsir dan kitab-kitab kalam, falsafah, irfan, kata-kata para tokoh, para cendiakawan Islam dan muʻārif Ilahi.

Di akhir kalam, menyebut noktah ini akan memberikan manfaat iaitu sebahagian orang menafsirkan keinginan dan kehendak sebagai “riḍā” dan mereka membahaskan pemahaman dan kepentingan riḍā termasuk klasifikasi, pembahagian-pembahagian dan peringkat-peringkatnya. Ini berkakna bahawa salah satu dari natijah-natijah kecintaan terhadap zat Allah (s.w.t) adalah riḍā, dan riḍā adalah salah satu daripada makam yang tinggi orang-orang yang dekat (muqarrabīn).[18] Sebuah kereḍāan tidak akan menuntut sesuatu kecuali keredaan dari Yang Haq, dan kehendak serta iradahnya akan mengalami kefanaan dalam kehendak dan iradah Yang Haq.[19]

Dalam keadaan ini, keinginan Tuhan merupakan keinginannya dan siapapun yang telah sampai ke maqam kerelaan, maka dia telah sampai pada sekumpulan tingkat penghambaan, sebagaimana yang disabdakan, "Riḍā adalah suatu nama berkumpul yang padanya makna-makna penghambaan." [20]

Tentang riḍā dan kerelaan ini, Lahiji dalam Syarh Gulsyān-e Rāz menulis bahawa hakikat riḍā adalah keluar dari kerelaannya sendiri dan menuju pada kerelaan Yang Dicintainya, riḍā dengan segala sesuatu yang telah dikehendaki oleh Tuhan ke atasnya, tidak akan bertentangan dengan kehendak Ilahi dengan segala perstij yang sama sekali tidak memiliki kemampuan untuk berkehendak, sebagaimana firman-Nya, "Dan kamu tidak dapat berhendak kecuali apabila dikehendaki oleh Allah, Tuhan semesta alam". Yang dimaksud dengan rela kepada hakikat ialah seseorang yang tidak keberatan dengan takdir-takdir Ilahi.[21]

Dengan menerima penafsiran ini, seorang hamba hakiki dan pesuluk yang mencintai dan pecinta kebenaran sama sekali tidak akan memiliki kecenderungan dan kehendak berkaitan dengan sesuatu yang di dalamnya tidak terdapat keredaan Tuhan. Manakala riḍā serta kehendak Tuhan yang baik, indah, dan suci murni sama sekali tidak berkaitan dengan keburukan dan ketercelaan.

Namun apa yang dapat difahami dari perkataan al-Quran iaitu "kehendak" dalam ayat-ayat yang kita bahas berbeza dengan makna dan pengertian riḍā walaupun dalam fenomena dan persoalan yang lain boleh terjadi satu kelarasan.

Masih ada kemungkinan untuk memperincikan dan mendalamkan perbahasan dan penerangan masalah-masalah keterpaksaan dan ikhtiar, kehendak Allah dan riḍā dari berbagai pandangan. Apabila anda berminat dan a’lam, maka tentu hal tersebut boleh dilaksanakan.[]

 


[1] . Fuladwand, Muhammad Mahdi, Tarjemeh-e Quran Karim, hal. 586.

[2] . Muhammad Husain Thabathabai, Tafsir Al-Mizān, jil. 20, hal. 220-221.

[3] . Muhammad Mahdi, Tarjemeh-e Quran Karim, hal. 580.

[4] . Muhammad Husain Thabathabai, Tafsir Al-Mizān, jil. 20, hal. 120, 131, dan140.

[5] . Ibid, hal. 69.

[6] . Asytiyani, Mirza Mahdi, Ta'liqe-ye bar Syarh-e Manzhumah, hikmat, hal. 27.

[7] . Qs. Al-Anfal (8): 17.

[8] . Qs. An-Nisa (4) : 78.

[9] . Doa Jausyan Kabir, pasal ke 55.

[10] . Silakan lihat beberapa indeks berikut ini: Manusia dan Ikhtiar, pertanyaan 51; Kehendak Ilahi dan Kehendak Manusia, pertanyaan 95; Perkara di antara Dua Perkara, pertanyaan 58.

[11] . Dalam kaitannya dengan kehendak dzati Tuhan ini, terdapat berbagai pernyataan dan sebahagian daripada para hukama memungkiri kehendak Tuhan. Silahkan lihat Nihāyatul Hikmah, hal. 296-306 dan hal. 307; Asfar, jil. 6, hal. 307-368, 379-413; jil. 2, hal. 135-136; jil. 6, hal. 384-385, dan ...

[12] . Silakan lihat, MT Misbah Yazdi, Āmuzesye Aqā'id, hal. 87-90, 166-164, dan hal. 184; Ibid, Āmuzesye Falsafah, hal. 421-428; Ibid, Ma'arif Quran, hal. 1-3, 133-146, dan hal. 190-202.

[13] . Qs. Al-Insan (76): 3.

[14] . Qs. Al-Balad (90): 10.

[15] . Qs. Al-Baqarah (2) : 256.

[16] . Athardi, Syeikh Azizullah, Musnad Al-Imam Al-Ridhā As, jil. 1, hal. 37.

[17] . Shaduq, Tauhid, bab55, bab Al-Masyiah al-Iradah; Bihārul Anwār, jil. 4, hal. 134-152; al-Mizān, jil. 20, hal. 143, 144; Kāfi, jil. 1, hal. 65-70.

[18] . Abdurrazaq Kasyani, Syarh Manāzil As-Sāirin, hal. 209.

[19] . Imam Khomeini, Ruhullah, Syarh-e Cihil Hadis, hal. 217.

[20] . Misbah Asy-Syariah, bab 86, hal. 182.

[21] . Lahiji, Abdurrazaq, Syarh-e Gulsyān-e Rāz, hal. 325.

 

Terjemahan pada Bahasa Lain
Opini
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Pertanyaan-pertanyaan Acak

Populer Hits

Jejaring