Carian Terperinci
Pengunjung
8787
Tarikh Kemaskini 2012/01/19
Ringkasan pertanyaan
Apakah justifikasi pembunuhan seorang anak kecil ditangan Nabi Khidir menurut perspektif sentimen?
soalan
Dalam dialog Nabi Khidir (a.s) dengan Nabi Musa (a.s) seperti yang diterangkan dalam ayat 74 surat al-Kahfi, apakah justifikasi pembunuhan seorang anak kecil di tangan Nabi Khidir (a.s) menurut perspektif sentimen? Apakah bentuk peristiwa yang ditujukkan ini mendapat izin Allah (s.w.t)?
Jawaban Global

Islam adalah agama kebijaksanaan, akal dan hikmah. Sejak awal penurunannya di zaman Nabi Adam as., Islam telah mepersembahkan ajaran-ajarannya yang dipenuhi cahaya hikmah yang menjadi penyuluh pelita perjalanan umat manusia. Ya, Islam telah melahirkan peribadi-peribadi terpilih dari rahim suci ajarannya. Sejarah telah tercatat dengan baik betapa banyaknya personaliti-personaliti agung dan cemerlang dilahirkan yang menghiasi cakrawala kebijaksanaan, dibimbing dan dibesarkan oleh ajaran Islam yang suci. Bahkan di kitab suci al-Qur’an, hampir sepertiga isinya menceritakan tentang kisah-kisah orang-orang yang terdahulu, baik mereka yang ingkar seperti Fir’aun dan Qarun, maupun mereka yang taat dan menjadi kebanggaan kebijaksanaan seperti para Nabi, alim-ulama dan mereka yang dekat dengannya. Dengan melalui perantaraan merekalah kita dapat mengambil pelajaran dan merasai hikmah suci Ilahi ini.

Salah satu kisah yang terkenal yang disebutkan oleh al-Qur’an mengenai kebijaksanaan dan hikmah orang-orang terdahulu ini terakam dalam Surat al-Kahfi: 74 yang ertinya, “Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, lalu Khidhr pun membunuhnya. Musa berkata: "Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar." Begitu terkenalnya kisah ini hingga ia sampai diabadikan oleh Allah (s.w.t) dalam kalam suci-Nya, yang mana ini menandakan nilai penting kisah ini dan kedalaman hikmahnya. Ini jelas kerana mustahil Allah meletakkan dalam al-Qur’an firman-Nya yang tidak mempunyai makna.

Namun ketika sepintas lalu membaca kisah yang diabadikan dalam salah satu ayat al-Qur’an diatas kita seolah-olah melihat ada sebuah pertentangan yang sangat besar. Bagaimana tidak? Ayat di atas menyajikan kisah tentang salah seorang Nabi Allah yang dipuji oleh Allah kerana mempunyai ilmu khusus, iaitu Nabi Khidhir (a.s), yang mana sebagai seorang Nabi ia sudah sepatutnya bersikap lembut dan penuh kasih-sayang. Apalagi terhadap seorang anak. Namun pada ayat di atas disebutkan dengan jelas tindakannya yang langsung membunuh seorang anak (ghulam) yang baru saja ditemuinya di suatu kampung. Anak yang sama sekali tidak dikenalnya. Bukankah ini merupakan sebuah keganjilan? Bagaimana mungkin seorang Nabi yang dipuji ilmunya oleh Allah (s.w.t) dalam al-Qur’an melakukan hal seperti ini? Bagaimana seorang Nabi dengan mudahnya menumpahkan darah seorang anak yang tak berdosa? Bahkan Nabi Musa (a.s) sendiri yang saat itu sedang mengiringinya pun (kedua-duanya nabi) melanggar janjinya sendiri untuk tidak membuka mulutnya dan memprotesnya!

Jika al-Qur’an adalah kitab yang penuh hikmah dan kebijaksanaan, lalu apakah gerangan yang dikehendaki Allah dengan mengabadikan kisah ini di al-Qur’an? Bukankah ini seperti menumpahkan dakwat hitam pada kertas putih bersih semata? Tidakkah Allah (s.w.t) mencederai Nabi-Nya sendiri dengan kisah ini? Tidakkah Ia memberi maklumat tentang ketidaksempurnaan-Nya dengan hal ini? Sudah tentu, jawapannya ialah tidak! Oleh kerana itu sebaliknya, jika kita fahami dengan lebih teliti, kita akan menemukan kebijaksanaan dan hikmah yang sangat besar di dalamnya. Mari kita bahas bersama!

Jawaban Detil

Sebelum kita membahasnya dengan lebih  terperinci  dan menyelesailan kemusykilan ini, terlebih dahulu kita harus mengetahui beberapa perkara asas yang akan kita jadikan piawai awal perbahasan ini. Hal-hal tersebut ialah;

1.     Al-Qur’an menyebut bahawa Nabi Khidir (a.s) adalah hamba Allah (s.w.t) yang memliki ilmu dan rahmat khusus Ilahi.

2.     Kefahaman daripada beberapa ayat dan riwayat menyatakan bahawa pembunuhan kanak-kanak yang baru baligh (ghulam) tersebut bukanlah akibat daripada tindakan yang dilakukan kerana kebencian, hawa nafsu atau amarah.

3.     Kematian anak tersebut di tangan Nabi Khidir (a.s) atas perintah dan izin Allah (s.w.t).

4.     Tanpa didahului dialog atau perbalahan antara Nabi Khidir (a.s) dengan kanak-kanak tersebut, Nabi Khidir (a.s) membunuh anak tersebut secara sengaja dan penuh kesedaran. Jadi pembunuhan ini bukan secara kebetulan atau ketidaksengajaan.

5.     Ayah dan ibu daripada kanak-kanak yang dibunuh tersebut adalah orang-orang Mukmin yang mendapat anugerah khusus dari Allah (s.w.t). Nabi Khidir (a.s) ketika itu sangat dibimbangi kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut menjadi kafir dan sesat kerana perangai buruknya nanti.

6.     Merujuk ayat-ayat berkaitan peristiwa ini serta riwayat-riwayat daripada para Imam Maksum (a.s), dapat difahami bahawa Allah (s.w.t) berhendak mengurniakan seorang anak perempuan kepada sepasang suami isteri tersebut sebagai gantinya. Daripada rahim anak perempuan ini nanti akan lahir nabi-nabi. Berdasarkan riwayat-riwayat tersebut, sekitar 70 nabi yang lahir daripada keturunan anak perempuan tersebut. Sedangkan anak lelaki itu bakal menjadi penghalang kelahiran nabi-nabi.

7.     Anak lelaki yang dibunuh Nabi Khidir tersebut tenggelam dalam kekufuran dan tiada harapan sedikitpun untuk menerima hidayah. Kekufuran serta keingkaran terhadap kebenaran berakar umbi di dalam hatinya, meskipun secara zahiriah keliahatan seperti seorang yang suci. Dengan kata lain, kejahatan anak lelaki tersebut adalah kufur atau murtad secara fitrah dan balasan setimpal bagi orang seperti ini hanyalah hukuman mati.

8.     Kematian anak lelaki tersebut membawa manfaat yang sangat banyak di antaranya ialah iman kedua ibu bapanya terperlihara, kedua ibu bapa anak lelaki tersebut terhindar dari segala bentuk kesedihan akibat adanya hubungan dan rasa kekeluargaan, merasa gembira kerana telah berjaya menempuhi qada dan qadar Ilahi, memperolehi keberkatan yang melimpah (melalui anak perempuannya), kesedaran Nabi Musa tentang rahsia-rahsia, alam ghaib, hakikat dan batin, perlaksanaan hudud Ilahi di tangan Nabi Khidir (a.s) menjadi penghalang beban amalan dosa seorang pemuda kerana perbuatan-perbuatan yang dilakukannya nanti (diantaranya: menyesatkan serta mengganggu kedua orangtuanya) dan sebagainya.

 

Setelah kita mengetahui fakta-fakta di atas, maka hal penting yang lain harus kita perhatikan ialah di antara sifat kesempurnaan (kamaliyah) Allah (s.w.t) adalah sifat Hakim (Maha bijaksana). Sifat ini termanifestasi baik pada tahap takwini ataupun tasyri’i. Walaupun kemungkinan semua orang tidak mengetahuinya kecuali hanya beberapa orang yang tahu tentang sebahagian rahsia kewujudan alam. Salah seorang yang mendapat anugerah rahmat dan inayah khusus serta pengajaran Ilahi dan ilmu laduni adalah Khidir (a.s) yang selain daripada memperoleh rahmat dan ilmu Ilahi serta taufik menyampaikan sebagian dari rahsia-rahsia tersebut kepada Nabi Musa (a.s), ia juga mendapat perintah untuk menjalankan hukuman Ilahi.

Oleh kerana itu, dengan memerhatikan fakta-fakta di atas tentang pembunuhan kanak-kanak tersebut di tangan Nabi Khidir (a.s),  kita dapat menemui sebuah jawapan yang sederhana, iaitu kesemuanya hanyalah hikmah dan Maha Pengaturnya Allah Azza Wa Jalla yang menjelma melalui tangan Nabi Khidhir (a.s). Meskipun perkataan ghulam memiliki berbagai makna, seperti pelayan, anak kecil, anak dewasa, baru baligh dan lain-lain lagi, namun makna yang dianggap sesuai pada (ayat-ayat 74 dan 80 surat Al-Kahfi) ialah anak lelaki yang baru baligh, baru tumbuh misai selaras dengan sebahagian ayat dan  riwayat.[1] Kerana itu berdasarkan hal ini dapat dikatakan bahawa seseorang  yang terbunuh di tangan Nabi Khidir (a.s) itu adalah seorang kanak-kanak yang baru baligh dan bukan seorang anak kecil!

Kemudian, kematian kanak-kanak tersebut tidaklah didahului dengan dialog atau pertengkaran yang mencetuskan kemarahan dan emosi atau kerana nafsu jahat. Nabi Khidhir sama sekali tidak betengkar dan berselisih pendapat dengan pemuda itu, namun baginda terus membunuh anak itu dengan pedang. Itu semua dilakukannya dengan penuh kesedaran dan kesengajaan. Bukan kerana kemalangan atau ketidaksengajaan. Nabi Khidir (a.s) melaksanakan urusan ini tanpa ada rasa ragu sedikit pun dalam hatinya dan mengamalkannya sesuai dengan ilmu Ilahi dan batini yang dianugerahkan Allah kepadanya.[2] Walau apa pun yang terjadi peristiwa ini bukanlah sebuah kejadian yang bersifat kebetulan. Berdasarkan ma’arif Al-Qur’an dan kalimah-kalimah agung para Imam Ma’shum (a.s) serta tinjauan falsafah, di alam ini tidak ada istilah “kebetulan”. Proses pembunuhan ini dilakukan oleh seorang hamba Allah (s.w.t) yang tertentu bersama anugerah rahmat dan ilmu khusus daripada Allah (s.w.t), sebagaimana Firman-Nya dalam surat al-Kahfi ayat 65: “lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba kami, yang telah kami berikan kepadanya rahmat dari sisi kami dan yang telah kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi kami”.

Di sini, berdasar pada perintah dan hukum Ilahi, Nabi Khidir (a.s) bertindak sebagai pelaksana perintah tersebut[3] atau kedudukannya sebagai sebab di antara sebab-sebab takwini  pada terealisasinya kehendak dan keinginan Ilahi. Sedangkan Nabi Musa (a.s) saat itu bertindak berdasarkan pada hukum Ilahi yang lain dalam bidangnya, iaitu hukum tasyri’i atau syari’at. Kerana itulah Nabi Musa (a.s) memprotes tindakan Nabi Khidhir (a.s) yang tidak sesuai menurutnya. Setelah dijelaskan oleh Nabi Khidhir (a.s), barulah Nabi Musa (a.s) menerimanya dan tunduk padanya.

Di sisi lain, ayah dan ibu kanak-kanak lelaki tersebut adalah orang mukmin yang Allah (s.w.t) kurniakan inayah dan taufik khusus. Berdasarkan ilmu zat-Nya, Allah (s.w.t) tahu bahawa kalau anak lelaki itu hidup, maka kedua ibu bapa tersebut akan terjerumus ke dalam fitnah, kekufuran dan kesesatan yang luar biasa di masa akan datang. Dengan alasan ini Allah (s.w.t) memerintahkan kepada Nabi Khidir (a.s) untuk membunuh anak lelaki tersebut dan dengan inayah ini Allah (s.w.t) memberikan maqam kemuliaan khusus kepada kedua ibu bapa itu di akhirat.[4]

Bersandarkan riwayat-riwayat yang sampai kepada kita, dapat dikatakan bahawa Allah (s.w.t) hendak mengganti anak lelaki tersebut (dengan melihat keimanan serta kesabaran yang dimiliki oleh ibu bapa itu) dengan seorang anak perempuan yang akan lahir sekitar 70 nabi daripada keturunannya. Ini merupakan balasan pahala yang lebih baik dan sebuah rahmat yang lebih dekat dan lebih banyak.[5]

Lelaki yang disebutkan di atas adalah seorang lelaki kafir (atau murtad secara fitrah) di mana tidak ada sedikit pun harapan pada dirinya untuk memperolehi cahaya petunjuk dan hidayah Ilahi. Kalau ia hidup, ia tidak hanya semakin larut dan tenggelam dalam kerosakan dan kejahatan, tapi ia juga akan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain ikut tersesat khususnya ibu bapanya. Jadi kematiannya itu merupakan akibat kekufuran atau kemurtadannya serta tidak ditemui sedikit pun tanda-tanda ia akan beriman dan meninggalkan kekufuran[6]. Nabi Khidir (a.s) dengan ilmu laduninya tahu perkara itu, meskipun secara zahiriah Nabi Musa (a.s) tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. (masalah kemurtadan sebagai sebuah pandangan boleh menjadi fokus perhatian).

Dengan ungkapan lain, kematian anak lelaki tersebut membawa banyak manfaat dan faedah di mana ia boleh dikatakan sebuah amalan yang sudah diperhitungkan secara matang. Ia juga merupakan sebuah lingkaran matarantai alam semesta yang indah ini dan merupakan sebuah tanda dari hikmah dan kekuatan Ilahi serta sebuah rahsia daripada ribuan rahsia yang tersembunyi di alam semesta ini. Di antara rahsia-rahsia tersebut ialah: Kedua orang tua mukmin dari anak lelaki tersebut dapat dihindarkan daripada bahaya kesesatan yang boleh menimpa mereka akibat adanya hubungan rasa kekeluargaan dengan anak lelakinya itu. Mereka telah menunjukkan kesabaran, kerelaan serta kepasrahan atas qadha dan qadar Allah (s.w.t) sehinga berhasil dan berjaya menjalani ujian Ilahi. Guna terealisasinya keinginan dan kehendak Ilahi dan penganugerahan seorang anak perempuan yang merupakan sumber keberkatan, maka Allah (s.w.t) memerintahkan kepada Nabi Khidir (a.s) untuk membunuh anak lelaki kafir tersebut yang dianggap sebagai penghalang.

Melalui penelitian Nabi Musa (a.s) terhadap peristiwa ini, dengan pengetahuan dan selama menemani salah seorang hamba suci Allah (s.w.t), yang merupakan sebuah lautan ilmu dari ilmu-ilmu Ilahi dan rahsia dari segala rahsia Tuhan, maka terbukalah maqam mulia tersebut serta bersinarlah pancaran cahaya dari ilmu dan hakikat yang ghaib. Baginda mencapai maqam kesempurnaan sesuai izin yang Allah (s.w.t) anugerahkan. Berkenaan hal ini, Al-Qur’an menyatakan bahawa: “Nabi Musa (a.s) berkata kepada Hadrat Khidir (a.s): bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang diajarkan kepadamu?”.[7]

Ya, dengan melaksanakan perintah Allah (s.w.t) dan kematian anak lelaki tersebut, maka catatan amal buruknya pun tertutup dan mencegah akan bertambahnya catatan amalan dosa yang akan dilakukannya di masa akan datang dan lain-lain lagi. Dengan kata lain, kematian lelaki tersebut membawa manfaat yang cukup banyak bagi orang-orang yang mempunyai hubungan khusus dengan peristiwa dan lelaki itu (yang mati), kedua ibu bapa lelaki tersebut, Nabi Khidir (a.s) dan yang menyertainya. []     

 

 



[1] . Mu’jam Muqayisullughah; al Afshah, jilid 1 halaman 11; al ‘Ain, jilid 4 halaman 442; Farhangg-e buzurg-e jame-e nuvin, jilid 3 halaman 1127; Mufradat Raghib; Aqrabul Mawarid; Muhammad Mahdi Fuladawan, Tarjume-e qur’an-e karim, ayat 74 dan 80.

[2] . tafsir Shafi, jilid 2; Biharul anwar, jilid 13 halaman 284.

[3] . tafsir Nurutstsaqalain, jilid 3 halaman 284; Biharul anwar, jilid 13 halaman 288.

[4] . Qs. Al Kahfi ayat 80; Allamah Majlisi, Biharul anwar, jilid 13 halaman 288.

[5] . tafsir Nurutstsaqalain, jilid 3 halaman 286, hadits 170-173; Biharul anwar, jilid 13 halaman 311; Ushul Kafi, jilid 2 halaman 83.

[6] . tafsir Nurutstsaqalain, jilid 3 halaman 286; tafsir Shafi, jilid 3 halaman 255; tafsir Majma’ al Bayan dan tafsir ‘Ayyasyi (ayat-ayat yang ada kaitannya dengan peristiwa Hadrat Khidir (a.s) dan Nabi Musa (a.s)); ‘Ilalusysyarayi’.

[7] . Qs. Al Kahfi ayat 66.

Terjemahan pada Bahasa Lain
Opini
Bilangan komen 0
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Pertanyaan-pertanyaan Acak

Populer Hits