Carian Terperinci
Pengunjung
5774
Tarikh Kemaskini 2013/03/30
Ringkasan pertanyaan
Bagaimana sikap Islam terhadap demokrasi?
soalan
Bagaimana sikap Islam terhadap demokrasi?
Jawaban Global
Demokrasi merupakan sebuah jalan untuk menyusun dan mengatur masyarakat. Penghormatan terhadap suara majoriti dan kebebasan peribadi, masyarakat dan sebagainya merupakan tipologi demokrasi yang jelas.
Meskipun tidak terdapat kepastian antara majoriti (akthariyyah) dan kebenaran (haqqāniyah), [i] akan tetapi suara majoriti atau kebolehterimaan dapat menjadi bekal dan modal utama untuk membantuk sebuah pemerintahan. [ii] Menurut perspektif Islam, selagi masyarakat dan suara majoriti tidak menerima sebuah pemerintahan maka secara praktikalnya ia tidak akan dapat membentuk sebuah pemerintahan.
Dalam pandangan Islam, masyarakat memiliki hak untuk menentukan nasibnya sendiri dan mereka dapat menghirup udara kebebasan peribadi dan sosial dalam pemerintahan Islam. [iii]
Namun Islam tidak menerima sebahagian wacana demokrasi yang dikembangkan oleh Barat. Dalam Islam, apabila suara majoriti bertentangan dengan kehormatan dan kemuliaan (karāmah) manusia, maka suara majoriti tidak bernilai sedikit pun, dan tidak juga memiliki keabsahan dari segi undang-undang dalam pandangan Islam.[iv] Banyak wacana demokrasi lain yang menjadi lebih baik jika dipraktikkan dalam Islam berbanding apa yang telah dilaksanakan di Barat. Dengan kata lain, secara keseluruhannya agama dan demokrasi tidak bertentangan dan tidak juga selari. Hakikatnya apa yang diterima oleh Islam ialah demokrasi beragama.[v]
Negara Republik Islam Iran adalah salah satu contoh yang memperlihatkan interaksi antara Islam dan demokrasi. Imam Khomeini (r.a), selaku tokoh berpengaruh, marjaʻ agama, juris (fakih) mutlak, pengasas Republik Islam Iran telah membuat ketetapan bahawa tidak ada pertentangan antara Islam dan demokrasi, bahkan kedua-duanya dapat dipertemukan. Dalam pandangan Imam Khomeini, Islam memiliki jalan yang paling demokratik untuk mengatur dan menguruskan masyarakat dengan bersandarkan pada suara rakyat.
Hal ini ditegaskan dengan ayat-ayat yang telah diturunkan berkenaan dengan musyarawah Nabi (s.a.w) dan masyarakat serta pelibatan mereka dalam masalah-masalah politik, sosial, mendengar pandangan mereka,[vi] kebebasan berakidah dan mengeluarkan pendapat.[vii]  Hal ini juga telah dinyatakan dalam riwayat-riwayat, dan sejarah para imam maksum (a.s).[viii]
 

[i]. Dengan kata lain, kendati legaliti (masyru'iyyah) tidak diperolehi melalui suara mayoriti, namun bergantung kepada penerimaan yang dimilikinya.
[ii]. Untuk menjelaskan noktah ini lebih baik kita mengamati satu contoh berikut ini. Misalkan beberapa orang pakar undang-undang memiliki kelayakan untuk menjalankan pemerintahan Islam akan tetapi dengan suara mayoriti dan kecendrungan masyarakat kepada seorang pakar undang-undang, maka pakar undang-undang tersebut memiliki autoriti (wilayah) untuk menjalankan pemerintahan.
[iii]. Dalam hal ini silakan lihat, Mahdi Hadawi Tehrani, Wilāyat wa Diyānat, hal. 117-138. Indeks: Hubungan pemerintah dan rakyat dalam Islam, pertanyaan 269.
[iv]. Dalam hal ini sila lihat, indeks: Manusia dan Kemuliaan, pertanyaan 48
[v]. Ertinya demokrasi dalam penduduk mayoriti Islam mempunyai kerangka dan keagamaan dan pensyariatannya. Mereka memilih Islam dan menerimanya untuk menjalankan hukum dan syariat Islam serta menyebarkan nilai-nilai moral, agama dalam masyarakat.
[vi]. "Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermusyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu." (Surah Ali Imran [3]:159)
[vii]. "Maka berikanlah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka." (Surah Al-Ghasiyah [88]:21-22); "Dan orang-orang yang menjauhi ibadah kepada thagut dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira. Sebab itu sampaikanlah berita gembira itu kepada hamba-hamba-Ku. yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal." (Surah Al-Zumar [39]:17-18)
[viii]. Nahj al-Bālagha, khutbah 216.
Jawaban Detil
Untuk menjawab pertanyaan di atas kita perlu memerhatikan beberapa noktah penting berikut:
  1. "Demokrasi" merupakan terminologi yang diterbitkan dari perkataan Yunani, "demokratia" di mana "demos" bermakna pengaturan urusan luar negeri suatu bangsa, berbeza dengan makna "polis" yang bermakna pengaturan urusan dalam negeri sesebuah negara.[1] Demokrasi hari ini dalam terminologi politik bermakna keunggulan kekuatan dan kekuasaan ideal suatu bangsa serta pengaturan pemerintahan oleh rakyat.[2] Namun, demokrasi yang menjadi sebuah sistem praktikal dan taktikal tidak disepakati oleh para ilmuwan ilmu-ilmu politik.[3]
  2. Pemerintahan rakyat untuk rakyat[4] yang disebut dalam bahasa Parsi sebagai "Mardom Salari-ye Dini" memiliki beberapa tipologi sebagai berikut:[5]
    1. Penghormatan terhadap kebebasan-kebebasan asasi seperti penghormatan terhadap kebebasan beragama, kebebasan media dan kebebasan berhimpun.
    2. Bersandar pada rakyat dan tidak menggunakan medium kekerasan untuk melakukan pemulihan dan reformasi.
Demokrasi merupakan sebuah metodologi dan model untuk menyusun urusan masyarakat sehingga mereka mampu menerima segala perubahan tanpa perlu bergantung pada revolusi berdarah dan kekerasan. Dengan kata lain, demokrasi merupakan konsep yang digunakan untuk mengatur urusan masyarakat dan menjadi metodologi berkesan untuk mengubah revolusi menjadi reformasi.
  1. Metodologi atau medium untuk menyelesaikan masalah kekuasaan dan mencegah timbulnya sikap autoritarian.
Beberapa tipologi demokrasi yang telah disebutkan di sini merupakan tipologi rasional dan dapat diterima yang mana secara sepintas lalu, ia tidak memiliki pertentangan dengan pandangan-pandangan Islam dalam bidang politik dan sosial.
  1. Selain itu terdapat juga tipologi demokrasi yang diterima oleh negara-negara Barat bersama  kerahan atas nama "hak asasi manusia"; iaitu menerima segala keinginan masyarakat tanpa berterus terang meskipun segala keinginan ini bertentangan dengan darjat dan kemuliaan manusia. Contohnya penghalalan perkawinan sesama jenis dan sebagainya. Sudah tentu agama Islam menolak tipologi demokrasi seperti ini. Asasnya, falsafah pengutusan para rasul ialah untuk melawan keinginan-keinginan rendah manusia hina dan memotivasikan mereka kepada ketinggian dan kemuliaan insaniah. Kebanyakan manusia yang dicela al-Qur'an ialah golongan majoriti ini.[6] Tanpa berfikir dan berintelektual, majoriti ini menentang seruan dan dakwah para nabi yang mengajak mereka kepada kebahagiaan, petunjuk dan kesempurnaan hanya disebabkan bertentangan dengan keinginan-keinginan rendah mereka.
Dengan memperhatikan mukadimah yang dikemukakan di atas sekarang mari kita perhatikan pandangan-pandangan terhadap sikap Islam dalam isu demokrasi:
  1. Pandangan yang menegaskan secara asasnya terdapat pertentangan antara agama dan demokrasi dan tidak ada hubungkait sedikitpun antara satu sama lain; Ini disebabkan demokrasi merupakan metodologi yang digunakan dalam bidang politik dan pemerintahan sedangkan agama tidak berkaitan sedikitpun dengan masalah politik.
Pandangan ini ialah pandangan yang dikemukakan oleh orang yang meyakini bahawa agama terpisah dari politik. Ini disebabkan ruang lingkup dan skop agama dalam pandangan mereka hanyalah urusan peribadi yang menguruskan hubungan antara manusia dan Tuhan serta keyakinan terhadap akhirat. Selain itu ianya tidak ada hubungan dengan masalah sosial dan politik.
  1. Pandangan yang lain ialah pendapat yang terletak di antara dua idea ini, terdapat pertentangan dan ketidak selarasan di antara kedua-duanya. Ini disebabkan demokrasi sangat menjunjung tinggi suara dan fikiran rakyat secara mutlak. Hal ini merupakan suatu yang tidak dapat dipisahkan dari pengertian demokrasi. Sementara Islam secara mutlak tidak terlalu memandang kesan suara dan fikiran rakyat. Contohnya apabila majoriti rakyat menyatakan agama tidak boleh dijadikan peraturan dalam sistem sosialnya, maka pandangan ini akan diterima dalam demokrasi sedangkan Islam menolaknya.
Pada dua kutub pemikiran ini, dari satu perspektif orang beragama berpendapat bahawa suara dan pandangan rakyat tidak bernilai. Sementara itu kutub yang lain ialah golongan anti agama yang menolak bahawa agama berada dalam skop pemerintahan. Kutub pertama memilih sikap untuk membela agama dan pemerintahan agama dengan pendekatan anti demokrasi. Golongan ini berpandangan bahawa agama tidak dapat dihimpunkan dengan demokrasi.  Sementara itu kutub kedua berkeyakinan dengan pemerintahan demokrasi dan menganggap agama adalah lawan demokrasi.
  1. Pandangan lain ialah golongan yang menegaskan bahawa hubungan Islam dan demokrasi tidak bertentangan secara keseluruhannya. Ianya juga tidak selari secara keseluruhan; ertinya hubungan agama dan demokrasi ialah hubungan umum dan khusus. Menurut pandangan ini demokrasi memiliki berbagai model yang sebahagiannya terdiri dari bukan agama, anti agama dan beragama. Demokrasi beragama ialah demokrasi yang diterima dalam Islam. Zat jenis demokrasi ini tidak berbeza dengan model demokrasi yang lain. Satu-satunya tipologi model demokrasi seperti ini ialah coraknya yang keagamaan.
 
Demokrasi Perspektif Imam Khomeini (rahimahullah)
Imam Khomeini selaku marja’, dengan meletakkan batu asas pertama negara Islam di Iran beliau telah menetapkan bahawa demokrasi bukan sekadar tidak bertentangan dengan Islam namun keduanya dapat dipertemukan dan disatukan yang mana beliau sendiri merupakan pengasas sistem pemerintahan yang paling demokratik di dunia dalam format "Republik Islam". Dalam pandangan Imam Khomeini, Islam memiliki model pemerintahan paling demokratik untuk mengatur masyarakat dengan bersandar pada suara rakyat.
Apabila kita mendefinisikan demokrasi sebagai sebuah model yang berasaskan kehendak dan kebebasan manusia dalam pemilihan para penguasanya, atau membiarkan mereka menentukan nasib sendiri, maka sebenarnya model pemerintahan yang berpijak pada suara majoriti tidak bertentangan dengan paradigma pemerintahan yang dibangun oleh Imam Khomeini. Imam dalam hal ini berkata: "Di sini suara rakyat yang memerintah. Rakyat yang memegang tampuk pemerintahan. Haram dan mustahil bagi kita melanggar hukum rakyat."[7]
Imam sangat menekankan peranan pusat rakyat menentukan nasib mereka sendiri dalam bentuk peringatan-peringatan kepada pemerintah, anggota dewan dan sebagainya.
Imam Khomeni pada suatu kesempatan, ketika memberikan nasihat kepada para anggota dewan untuk tidak melawan arus perjalanan rakyat, beliau berkata, "Apabila selaras dengan selera kalian sendiri dalam menjalankan demokrasi, maka ketahuilah bahawa demokrasi ialah suara majoriti dan demikianlah suara majoriti dapat diterima. Apapun yang majoriti katakan, maka pendapat mereka akan diterima walaupun bertentangan atau merugikan diri diri mereka sendiri. Kalian bukanlah wali mereka yang berkata bahawa hal ini merugikan anda (rakyat), kami tidak ingin melakukannya. Anda ialah wakil mereka (bukan wali mereka)."[8]
Ucapan ini dengan jelas menerangkan bahawa Imam meyakini bahawa nasib setiap masyarakat dan bangsa ditentukan oleh mereka sendiri dan dengan suara mereka sendiri. Imam Khomeini meyakini bahawa "Dalam Islam demokrasi dapat diterapkan dan rakyat bebas dalam Islam. Baik dalam menjelaskan keyakinan juga dalam beramal. Dengan syarat tidak ada konspirasi di dalamnya."[9] Keyakinan pemimpin Revolusi Islam ini mengkristal dalam perlembagaan negara.
Perlembagaan Republik Islam Iran menunjukkan dengan jelas persamaan antara Islam dan demokrasi. Dalam perlembagaan Republik Islam Iran, pemerintahan agama dan pemerintahan demokrasi ialah dua kutub yang tidak bertentangan. Namun kedua-duanya saling berhubungan dengan syarat dan saling menentukan antara satu sama lain sehingga dapat dikatakan bahawa berasaskan semangat dan logik perlembagaan, pemerintahan Islam sebenarnya adalah pemerintahan demokrasi. Boleh jadi, atas alasan ini pemimpin Republik Islam Iran tidak sepakat dengan redaksi "Kerajaan Islam" dan memilih redaksi "Republik Islam" untuk Iran.
Dalam perlembagaan Republik Islam, pasal tiga , ayat 19 dan 23, dengan judul hak-hak rakyat (huquq-e mardum) mengandungi perkara-perkara kebebasan mengeluarkan pendapat, kebebasan beragama, kebebasan kegiatan kepartian, kebebasan media, persamaan darjat di hadapan hukum dan sebagainya. Begitu juga dalam pasal lima terdapat judul hak rakyat untuk berkuasa (haqq-e hakimiyyat mellat).[10]
Kedua pasal ini disimpulkan daripada Islam dan hubungannya dengan demokrasi yang berasaskan penegasan dari sumber-sumber agama samada dari ayat-ayat al-Qur'an mahupun riwayat-riwayat, sirah pemerintahan Nabi (s.a.w) dan Imam Ali (a.s). Di dalam al-Qur'an Allah (s.w.t) berfirman kepada Nabi (s.a.w): "Wa shāwirhum fī al-amr.." (Dan bermusyuaratlah dengan mereka, Surah Ali Imran [3]:159), begitu juga pada ayat yang lain, mesyuarat ditempatkan di samping ayat penunaian shalat.[11]
Berkenaan dengan kebebasan beragama, Allah (s.w.t) berfirman, "Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka." (Surah Al-Ghasiyah [88]:21-22)
Kami berikan ayat-ayat ini sebagai contoh yang menjelaskan keterlibatan dan penyertaan aktif rakyat dalam menentukan nasib mereka sendiri dan masyarakat yang hidup di dalamnya. Demikian juga bebas beragama dan kebebasan warga negara menjadi kebebasan dalam menyatakan pendapat dan sebagainya.
Sirah dan metodologi para maksum (a.s) juga merupakan penjelasan dari dakwaan ini. Meskipun Rasulullah (s.a.w) berada di Mekkah hingga hijrah ke Madinah semenjak permulaan bi'tsat, namun baginda memiliki autoriti asas untuk membentuk pemerintahan. Namun hal ini diterapkan di Madinah lantaran adanya permintaan masyarakat umum Madinah. Ini semua terjadi sewaktu mereka memberikan baiat kepada Rasulullah (s.a.w)."[12]
Demikian juga Imam Ali (a.s), walaupun beliau memiliki wilayah dan hak Ilahi sebagai Imam sejajar dengan hadis-hadis al-Ghadir dan sebagainya setelah kewafatan Rasulullah (s.a.w), tatkala beliau menyaksikan majoriti rakyat memintanya untuk menjawat jawatan sebagai penguasa, beliau menerima untuk menjadi penguasa dan memerintah mereka.
Amirul Mukiminin Ali bin Abi Thalib dalam Nahj al-Balaghah menyampaikan kepada masyarakat: "Janganlah menghindari saya sebagaimana (menghindari) para penguasa zalim, jangan menemui saya dengan puji-pujian, dan jangan berfikir bahawa saya akan menyalahkan apabila suatu hal yang benar dikatakan kepada saya, kerana orang yang merasa muak sekira kebenaran dikatakan kepadanya atau suatu hal yang adil diletakkan di hadapannya akan mendapatkannya lebih sulit untuk melaksanakannya. Oleh kerana itu janganlah berpantang dari berkata benar atau menyalahkan keadilan, kerana saya tidak memandang diri saya di atas kekeliruan "[13]
Penglibatan dalam membuat keputusan berdasarkan format mesyuarat merupakan salah satu agenda utama dan politik Imam Ali dalam menjalankan pemerintahan. Hal ini bermakna masyarakat terlibat dalam menentukan nasibnya sendiri. Ertinya rakyat terlibat secara aktif dalam mengambil berbagai keputusan untuk mengelola pemerintahan.
Kerana itu, Walaupun dalam hal-hal tertentu boleh jadi suara majoriti tidak memiliki status yang sah dari segi undang-undang, namun suara majoriti dapat mengambil kedudukan sebagai pelaksana atau dengan kebolehterimaannya dalam mewujudkan sebuah pemerintahan.
Dalam pandangan Islam, masyarakat memiliki hak untuk menentukan nasibnya sendiri. Di bawah pemerintahan Islam masyarakat dapat mengecap berbagai kebebasan peribadi dan sosial.
Meskipun Islam tidak menerima sebahagian wacana demokrasi yang difahami dan yang diamalkan Barat seperti suara majoriti bertentangan dengan kemuliaan manusia, namun wacana-wacana demokrasi yang lain lebih baik telah diamalkan dalam Islam. Akibatnya, bukan sahaja agama dan demokrasi tidak bertentangan, malah model paling mutakhir demokrasi dapat ditemui pada teks-teks Islam.[]
 

[1]. Ghulam Ridha Ali Babai, Farhangg-e 'Ulume Siyāsi, jil. 1, redaksi demokrasi; Carell Cohen, Demokrasi (penerjemah Faribrez Majidi), hal. 21.
[2]. Ibid.
[3]. Hamid Inayat, Tafakkur Nāwin Siyāsi Islām, hal. 179.
[4]. Adagium ini tersebar di kalangan masyarakat dengan tanggapan bahawa sebuah pemerintah yang memperhatikan hak-hak masyarakat adalah pemerintah yang paling demokratik.
[5]. Walau bagaimanapun mengkaji subjek demokrasi dengan definisi, secara sepintas lali, tipologi, hubungan antara demokrasi dan hak-hak rakyat dan pandangan sumber-sumber Islam yang khusus dalam subyek ini memerlukan penelitian yang luas dan tidak dapat disampaikan sepenuhnya dalam artikel ini.
[6]. "Allah sekali-kali tidak pernah mensyariatkan kewujudan bahīrah, sā’ibah, washīlah, dan hām. Akan tetapi, orang-orang kafir mencipta pembohongan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti."  (Al-Maidah [5]:103)
[7]. Imam Khomeini, Shahifeh-ye Nur, jil. 14, hal. 109; jil. 9, hal. 304.
[8]. Shahife-ye Nur, jil. 4, hal. 234.
[9]. Ibid.
[10]. Qānun-e Asāsi Jumhuri-ye Islami, ketetapan 1358, dengan perbaikan baru, 1368.
[11]. "Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhan mereka dan mendirikan salat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka." (Surah Syura [42:38)
[12]. Muhammad Ibrahim Ayati, Tārikh-e Payāmbar-e Islām, hal. 181.
[13]. Nahj al-Balagha, khutbah 216 (Khursyid-e Bighurub, terjemahan 'Abdul Majid Ma'adikha).
 
Terjemahan pada Bahasa Lain
Opini
Sila masukkan nilai
contoh : Yourname@YourDomane.ext
Sila masukkan nilai
Sila masukkan nilai

Kategori

Pertanyaan-pertanyaan Acak

Populer Hits

Jejaring